Tangguh perjalanan ke India dan Pakistan - Wisma Putra
Nailah Huda
Februari 27, 2019 17:37 MYT
Februari 27, 2019 17:37 MYT
Berikutan ketegangan antara India dan Pakistan yang tercetus, Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia supaya menangguhkan kunjungan “tidak perlu” ke kedua negara itu, terutamanya di kawasan yang paling terkesan akibat konflik berkenaan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebagai sebuah negara yang menjalinkan hubungan rapat dengan kedua-dua negara itu, Malaysia menggalakkan India dan Pakistan untuk berdialog dan berunding ke tahap ‘maksimum’.
Wisma Putra turut berpendapat ini selaras dengan harapan negara yang berharap untuk membina suatu susunan antarabangsa yang aman dan stabil.
Jika memerlukan sebarang bantuan, warga Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi pada talian +911124159300 atau +919319150306 selepas waktu bekerja atau di Islamabad pada talian +95212072900 atau +923000808549 selepas waktu bekerja.
Pada Rabu, Pakistan menembak jatuh dua pesawat pejuang India di kawasan genjatan senjata yang menjadi pertikaian kedua negara, Kashmir.
BACA: Perang dua kuasa nuklear India - Pakistan bermula
Langkah itu dilakukan sehari selepas India melakukan serangan udara di kawasan sama, tindakan berani pertama negara itu dalam tempoh 50 tahun, dipercayai untuk membanteras aktiviti keganasan.
Kini India telah menutup sekurang-kurangnya empat lapangan terbang di kawasan utara negara itu, termasuk di Pathankot, Leh, Srinagar, Jammu dan Amritsar, menurut kenyataan seorang pegawai kerajaan India kepada portal berita Reuters.
#India
#keganasan
#kerajaan
#konflik
#kunjungan
#Malaysia
#New Delhi
#Pakistan
#pesawat
#Say no to war
#serangan
#Wisma Putra