Tangguh operasi mencari, beri ruang penduduk kampung cari Acap
Aida Aziz
April 16, 2019 18:05 MYT
April 16, 2019 18:05 MYT
Setelah sekian lama pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap, menemui jalan hampa, pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak bersetuju untuk menangguhkan operasi mencari buat sementara waktu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata keputusan itu dibuat untuk memenuhi permintaan serta memberi ruang buat penduduk kampung sekitar meneruskan usaha pencarian Acap dengan cara tersendiri.
Bagaimanapun ujarnya, keputusan berkenaan tarikh dan tempoh masa penangguhan itu akan dimaklumkan selewat-selewatnya esok (Rabu), menerusi perbincangan dengan pihak terbabit termasuk penduduk kampung.
"Kita akan bincanglah untuk membuat mungkin satu permintaan daripada penduduk di sini, memberikan mereka (penduduk kampung) ruang sedikit untuk cari Acap.
"Pada prinsipnya, pihak PDRM dan bomba bersetuju untuk tangguhkan, cuma kena bincang bila dan berapa hari nak ditangguhkan, dan yang penting bincang dengan persatuan penduduk di sini untuk fahamkan operasi pencarian mereka.
"Kita kena bersiap sedia sekiranya apa-apa terjadi dan sudah bersedia berikan pertolongan sokongan," katanya ketika menghadiri sesi taklimat pencarian Mohammad Ashraf, 29 tahun, di Kampung Pintu Padang, di sini, pada Selasa.
Selain melawat pos kawalan operasi SAR di kampung itu, Zuraida turut berjumpa dengan ahli keluarga peserta Gopeng Ultra Trail 2019 yang hilang sejak 23 Mac itu.
Sementara itu, ibu Acap, Siti Maznah Khamis, 62 tahun, berkata dia dan keluarga kini hanya berserah kepada Allah dan memohon agar rakyat Malaysia mendoakan keselamatan anaknya.
"Selepas kita berusaha berhempas pulas meredah hutan, sungai, mendaki bukit, gua, saya rasa usaha itu sangat besar untuk cari anak saya, selebihnya kita serah pada Allah.
"Ashraf memang anak yang baik, dan yang datang itu semua baik-baik, niat baik untuk cari dia, untuk pejuang dan sukarelawan tak didendang... saya akan dendangkan dengan doa untuk terus bertahan cari Ashraf.
"Saya minta sangat rakyat Malaysia lepas jam 9 malam ini sedekahkan ayat Kursi untuk Ashraf, terima kasih dan tak terbalas jasa anda semua," katanya.
#ayat Kursi
#bomba
#doa
#Gopeng Ultra Trail
#Gua Tempurung
#JBPM Perak
#keselamatan
#misi mencari
#Mohammad Ashraf Hassan
#pelari hilang
#penduduk kampung
#peserta larian
#Siti Maznah Khamis
#sukarelawan
#tangguh operasi
#Zuraida Kamaruddin