Tangguh dahulu pembukaan sekolah sehingga kes positif COVID-19 menurun - Ibu bapa

Radhi Muslim
Ogos 16, 2021 12:58 MYT
Seorang guru mengambil bacaan suhu badan pelajar sebelum memasuki sekolah. - Foto fail/BERNAMA
SANDAKAN: Pengumuman pembukaan sekolah secara berperingkat bermula awal Oktober depan mengundang pelbagai reaksi daripada ibu bapa di Sandakan, Sabah.
Rata-rata yang ditemui tidak bersetuju dengan pengumuman dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) susulan angka kes positif di negeri itu yang masih tidak menunjukkan trend penurunan.
Bagi seorang tukang masak, Rosdi Lakuasa, dia berharap agar pembukaan ini ditangguhkan terlebih dahulu demi keselamatan pelajar dan guru seterusnya mereka yang terlibat dalam sektor itu.
"Saya ada seorang anak yang berusia tujuh tahun dan secara peribadinya saya masih belum bersedia untuk menghantarnya ke sekolah pada waktu ini.
"Kalau boleh tangguhkan terlebih dahulu pembukaan ini dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi sehingga kes menunjukkan trend penurunan," katanya.
Sementara bagi seorang jurujual kereta, Ling Kian Wu, dia merasakan lebih sesuai pembukaan sekolah dibuat selepas semua pelajar terlibat menerima suntikan vaksin terlebih dahulu.
Ini bagi memastikan tiada penularan dan jangkitan COVID-19 berlaku disebabkan pembukaan sekolah yang diumumkan.
"Lebih baik sekolah dibuka sejurus semua pelajar yang terlibat diberi suntikan vaksin terlebih dahulu, dan saya secara peribadinya hanya akan membenarkan anak-anak saya ke sekolah selepas mereka menerima vaksin.
"Jadi buat masa ini, selesaikan dahulu proses vaksinasi kepada pelajar skeolah kemudian barulah ia dibuka," ujarnya.
Manakala bagi seorang suri rumah, Mira Alang, pula berpendapat, cadangan pembukaan ini wajar difokuskan kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Pada pandangan saya, pembukaan sekolah rendah mungkin boleh ditangguh terlebih dahulu kerana mungkin bimbang akan kemungkinan penularan dalam kalangan kanak-kanak.
"Tetapi kalau peringkat sekolah menengah boleh dipertimbangkan pembukaan khusus bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan penting," katanya.
BACA: Pembukaan semula sekolah secara berperingkat ditangguh ke 3 Oktober - Radzi Jidin
Pada Ahad, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka pada 3 Oktober 2021.
Tambahnya, pembukaan itu bagaimanapun akan dibuat secara berperingkat bermula dengan kelas peperiksaan.
Pembukaan Sekolah | Sekolah dibuka secara berperingkat mulai 3 OKT
#pembukaan sekolah #Kementerian Pendidikan #penutupan sekolah #COVID-19 di Sabah #kluster COVID-19 di Sabah #vaksinasi di Sabah
;