Tangguh Bersih 4.0 ketika keadaan ekonomi merudum - Rahman Dahlan
Astro Awani
Ogos 27, 2015 08:15 MYT
Ogos 27, 2015 08:15 MYT
Dalam berdepan suasana ekonomi global yang merudum, demonstrasi jalanan seperti Bersih 4.0 perlu ditangguhkan dahulu kerana ia memberi kesan rantaian yang tidak mengubah keadaan semasa sebaliknya memungkinkan lebih banyak masalah kepada ekonomi.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mengulas demikian ketika diwawancara dalam program berita Buletin AWANI pada Rabu berikutan beberapa kenyataan yang dimuat naik melalui akaun Twitter beliau.
“Kita berdepan dengan satu suasana kejatuhan ekonomi global di mana bursa-bursa saham di seluruh dunia merudum dengan begitu teruk dan disambut pula dengan nilai Ringgit yang jatuh mendadak,” ujar beliau.
Menurut Abdul Rahman, negara kini sedang memantau ekonomi dunia dari minit ke ke minit dan bukan lagi dari hari ke hari, termasuk melihat perkembangan di London dan New York.
“Demonstrasi Bersih ini tujuannya adalah untuk meminta (Datuk Seri) Najib Razak turun (meletak jawatan). Maknanya, ia ada kaitan dengan isu-isu domestik.
“Apabila ini berlaku, isu domestik ini tidak akan diselesaikan pun. Saya masih lagi beranggapan bahawa Perdana Menteri akan tetap menjadi Perdana Menteri (selepas) 1 September. Kerajaan ini masih wujud. Ini bermakna Bersih tidak akan dapat menyelesaikan masalah,” ujar beliau.
Tambah Ahli Parlimen Kota Belud itu, beliau yakin sekiranya demonstrasi itu diteruskan juga, ia akan menggugat lagi keyakinan pelabur.
Apabila keyakinan pelabur tergugat, katanya, Ringgit dan bursa saham akan terkesan manakala kumpulan pertama yang menerima impak tersebut bukan kerajaan tetapi golongan usahawan.
“Kemudian rakyat (akan terjejas) kerana apabila perniagaan-perniagaan ini terkesan maka akhirnya pelaburan dan penambahan pekerjaan tidak akan dibuat,” jelas beliau.
Abdul Rahman memberi cadangan agar demonstrasi Bersih ditangguhkan buat masa ini.
“Bukan hendak meminta mereka hentikan (demonstrasi), tapi tangguhkanlah dahulu sehingga keadaan menjadi lebih baik.
“Sama ada mereka hendak buat atau tidak pada masa akan datang, itu urusan mereka dengan pihak pihak-pihak tertentu. Namun pada pandangan saya dalam keadaan kita berdepan dgn kemelut ekonomi yang meruncing sekarang ini tindakan Bersih memberi kesan awal pada golongan usahawan dan ekonomi negara,” ujar beliau.