Tangguh bawa keluarga bercuti ke kawasan berisiko tinggi
Astro Awani
Disember 22, 2022 13:38 MYT
Disember 22, 2022 13:38 MYT
BAGAN DATUK: Orang ramai dinasihatkan menangguhkan rancangan untuk membawa keluarga bercuti di kawasan rekreasi yang berisiko seperti air terjun, kawasan perkemahan dan pinggiran hutan, khususnya ketika Monsun Timur Laut (MTL) sekarang.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia bagi mengelakkan tragedi tidak diingini seperti yang berlaku di Batang Kali berulang.
"Kita mesti sentiasa peka dengan amaran-amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan juga pihak Jabatan Meteorologi berkenaan dengan keadaan cuaca, taburan hujan, keadaan air sungai di tempat kita, pastikan keselamatan nyawa, keluarga, anak dan harta benda kita, kita sentiasa ambil dan titikberatkan.
"Jadi rancanglah percutian kita semua, pastikan kita tidak pergi ke tempat-tempat yang berisiko," katanya.
Beliau ditemui ketika melawat dan menyampaikan bantuan kotak makanan kepada mangsa banjir di SK Sungai Tiang Darat, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, 94 mangsa terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father Organic Farm di Jalan Batang Kali, Gohtong Jaya, Genting Highland, Pahang.
Berdasarkan laporan, 61 daripada mangsa selamat, 30 meninggal dunia dan tiga orang dikhuatiri masih hilang.
Dalam pada itu, Mohd Yusri memberitahu, pihaknya memberi pelepasan cuti kepada pegawai dan anggota yang terlibat dengan banjir di negeri-negeri pantai timur.
Di samping itu, pihaknya akan membuat bancian bagi mengenal pasti anggota yang terlibat bagi membolehkan pemberian bantuan.