Tanggapan Sarawak menang kes Petronas silap - Chong

Rohana Wahed
Jun 24, 2018 05:05 MYT
Chong berkata, tindakan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi seperti yang diputuskan tidak harus dilewatkan. - Gambar fail
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen menganggap tafsiran mengatakan kerajaan negeri beroleh 'kemenangan' dalam kes mahkamah berhubung isu Sarawak-Petronas adalah silap.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, masih belum ada keputusan muktamad dalam kes itu dan ia harus segera dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk penyelesaian.
"Belum lagi muktamad menang atau kalah. Justeru, Kerajaan Negeri Sarawak perlu menyegerakan isu pemilikan hak terhadap industri dan minyak negeri ini.
"Jika kerajaan Sarawak gagal melaksanakan tanggungjawab itu, ia boleh mencetus situasi tidak bagus dalam pasaran industri minyak dan gas Sarawak," katanya pada satu majlis sambutan Aidilfitri di Pusat Konvesyen Borneo di Kuching pada Ahad.
Katanya, tindakan membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi seperti yang diputuskan tidak harus dilewatkan.
"Jika kita serius mengenai isu ini, segera fail di Mahkamah Tinggi kerana di sana ada jawapan terbaik.
"Kita perlu penjelasan undang-undang mana lebih berkuasa sama ada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 atau Ordinan Perlombongan Minyak 1958," katanya.
BACA: Selagi ada PDA 1974, Sarawak ada hak ke atas Petronas - Sharifah Hasidah
BACA: Petronas boleh teruskan prosiding di Mahkamah Tinggi - Pakar Undang-Undang
BACA: Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak jejas keupayaan Petronas teruskan tindakan perundangan
Pada Jumaat, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petronas untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop memutuskan relif perisytiharan yang dimohon Petronas tidak termaktub di bawah Perkara 4 (4) dan Perkara 4 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Menyentuh mengenai isu itu, Chong berkata, sentimen pelabur sekarang perlu diambil kira.
Ahli Parlimen Stampin itu menambah, jika masalah berkenaan gagal dilaksana, industri minyak dan gas berdepan masalah besar dan rakyat menderita dalam merebut peluang pekerjaan.
"Jika kita rasa ada hak, laksanakan sebelum ordinan ini dikuatkuasakan melalui persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai ini.
"Kerajaan negeri tidak boleh bangga seolah-olah Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 lebih berkuasa melainkan mahkamah menentukan keputusannya," tambahnya lagi.
#Akta Pembangunan Petroleum #Chong Chieng Jen #industri #kerajaan #mahkamah #minyak #minyak dan gas #Ordinan Perlombongan #Pakatan Harapan #PDA 1974 #pemilikan hak #Sarawak
;