Tanggapan bahawa program Permata elitis tidak berasas

Bernama
November 12, 2016 10:49 MYT
Program Permata adalah cetusan idea isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung program itu. - Gambar fail
Lebih 60 peratus peserta Program Permata yang bermula sejak 2007 merangkumi mereka dari kawasan luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ini sekali gus menunjukkan tanggapan Program Permata merupakan sebuah program elitis adalah salah dan tidak berasas, menurut Perunding Kanan Program Permata Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.
"Sebenarnya kalau kita tengok program pendidikan awal kanak-kanak, kita memberi fokus kepada tempat-tempat yang mempunyai keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar. Itu inklusif, bukan elitis," katanya.
Dr Sharifah Hapsah berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi.
Turut diundang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Program Permata Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.
Jelas Dr Sharifah Hapsah: "Bila kita tengok misalnya program Permata Pintar, bila kita buat ujian dalam talian dan kita analisa pelajar yang sertai program ini, kita dapati mereka yang berjaya datang dari tempat yang kita sendiri tak tahu ia wujud."
Program Permata adalah cetusan idea isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung program itu.
Ia kini mempunyai tujuh cabang utama iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Insan, Permata Seni, Permata Kurnia, Perkasa Remaja dan Hospital Kanak-kanak (HKK) Permata. Ia turut merangkumi Kolej Permata Pintar dan Kolej Permata Insan.
Dr Sharifah Hapsah berkata Permata turut memberi fokus kepada golongan remaja terpinggir dan kurang peluang merealisasikan potensi sebenar mereka.
"Ini antara lain supaya mereka tidak lagi lepak, merempit dan sebaliknya menjadi rakyat yang produktif. Jadi kalau kata (Permata) elitis memang saya marah," katanya.
Berkongsi pandangan serupa, Siti Azizah berkata dakwaan program berkenaan hanya untuk golongan atasan mungkin disebabkan pihak yang membuat kritikan itu tidak mendapat maklumat lengkap mengenainya.
Mengulas mengenai kejayaan Program Permata, Siti Azizah menarik perhatian bahawa pelajar yang dibentuk melalui program Permata Pintar telah berjaya melanjutkan pengajian di universiti di dalam dan luar negara termasuk Universiti Oxford, Cambridge dan Stanford.
"...ini yang kita bangga, kalau kita tak jaga mereka dari awal...ini akan jadi satu kehilangan besar," katanya.
Diinspirasikan oleh Rosmah sendiri, HKK Permata yang bakal menyediakan terapi sel stem dan terapi integratif, dijangka siap pada 2018. - BERNAMA
#Permata #Rosmah Mansor #Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin #siti azizah sheikh abod
;