Tanggal papan tanda, cari alternatif lain promosi sejarah 'Battle of Kampar'
Aida Aziz
Ogos 16, 2022 11:30 MYT
Ogos 16, 2022 11:30 MYT
IPOH: Setelah berjuang lebih 20 tahun untuk memulihara tapak warisan Pertempuran Kampar (Battle of Kampar) di Green Ridge, Kampar, nampaknya ia sampai ke noktahnya dengan menemui jalan buntu.
Difahamkan pelbagai usaha dibuat bukan sahaja oleh kerajaan negeri, bahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut berhempas pulas memastikan lokasi itu dipertahankan sebagai sebahagian sejarah 'Battle of Kampar'.
Bagaimanapun menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, wujud beberapa kekangan termasuk pemilikan tanah di tapak sejarah itu, yang menyebabkan usaha itu menemui jalan buntu dan tidak berkesudahan.
Nor Hisham berkata, pihaknya akur dan menerima keputusan tersebut dengan menanggalkan papan tanda yang diletakkan di Green Ridge, setelah timbul isu berbangkit berhubung kehadiran papan tanda itu.
Selain itu menurutnya, beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak susulan arahan untuk menanggalkan papan tanda tersebut.
Namun mengakui sedikit terkilan kerana apa yang dilakukan selama ini adalah semata-mata untuk mempromosi lokasi bersejarah kepada orang ramai, di samping mahu memastikan kawasan itu tidak lenyap dek pembangunan.
"Isu Green Ridge bukanlah satu isu baharu, ia sudah berlarutan lebih 20 tahun. Kita faham tapak sejarah ini ada hak milik, kita tidak menafikannya.
"Pelbagai usaha dan rundingan dilakukan oleh pihak kerajaan dan lain-lain untuk selamatkan tapak sejarah ini tapi semua menemui jalan buntu.
"Di pihak NGO pula, mereka berusaha pertahankan tapak warisan ini selagi boleh dengan mengikut lunas yang betul.
"Jadi, tindakan baru-baru ini (tanggalkan papan tanda informasi Battle of Kampar) di Green Ridge ini adalah bukti bahawa NGO sentiasa menghormati pihak berkuasa dan tuan tanah tersebut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sehubungan itu, aktivis sejarah itu turut berpendapat semuanya berbalik kepada pemilik tanah tapak sejarah tersebut, sama ada mahu kekalkan atau majukan tanah miliknya.
Tidak mahu kontroversi itu berpanjangan atau mengganggu mana-mana pihak, beliau berkata pihaknya sedang memasang strategi lain untuk mengangkat sejarah Battle of Kampar sebagai produk pelancongan.
Sudah tentu katanya, kali ini mereka tidak akan menyentuh lokasi Green Ridge atau memaparkan lokasi itu, bagi mengelakkan timbul konflik di kemudian hari.
"Kita akan promosikan lokasi lain di Kampar yang ada kena mengena dengan tapak sejarah Battle of Kampar.
"Jadi kita harap kerjasama pihak berkuasa menyokong usaha ini dengan memberi kebenaran dan cadangkan lokasi bersesuaian untuk angkat sejarah ini.
"Bagi kami NGO selepas kejadian ini, kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempromosi peristiwa sejarah 'Battle of Kampar' sebagai produk pelancongan dengan cara lain dan tanpa menyentuh isu Green Ridge.
"Saya yakin pihak Kerajaan pun dah jemu dengan isu ini yang tiada penyelesaiannya. Moga usaha ini mendapat sokongan. Kita mahu Kampar terkenal dengan kisah sejarahnya sepertimana Langkawi dengan legenda Mahsuri," katanya lagi.
Sebelum ini tular di media sosial memperlihatkan papan tanda informasi yang menunjukkan peta serta keterangan 'Battle of Kampar' perlu ditanggalkan.
Untuk makluman, Green Ridge merupakan satu-satunya kawasan pertempuran Perang Dunia Kedua yang masih mempunyai kesan biarpun terbiar dalam belukar sejak 78 tahun lalu.
Kawasan berbukit itu ialah lokasi pertempuran melibatkan 1,500 tentera British menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari pada 30 Disember 1941 semasa Perang Dunia Kedua.