Tangani wabak COVID-19 lebih utama daripada isu politik - Ahli akademik

Bernama
April 26, 2020 13:11 MYT
Rakyat juga mahu kerajaan memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha membendung penularan wabak COVID-19. - Gambar fail
Wabak COVID-19 yang mencatatkan lebih 5,000 kes dengan 98 kematian di Malaysia berada di paras paling tinggi senarai keutamaan yang perlu ditangani kerajaan pada masa ini berbanding isu lain termasuk politik.
Menurut ahli akademik, mana-mana pemimpin yang baik pastinya memberikan tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat serta ekonomi negara dalam waktu yang mencabar ini.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh meraih populariti sekiranya mengambil pendekatan untuk mempolitikkan isu semasa, namun beliau tidak berbuat demikian.
"Fokus kini pada COVID-19 dan perdana menteri memberi tumpuan kepada bagaimana untuk mengurus negara dan membantu rakyat yang berdepan dengan krisis ini. Malah, beliau menjelaskan ini merupakan amanah dan tanggungjawab buat beliau.
"Ini merupakan gaya kepimpinan yang disambut baik apabila seorang pemimpin meletakkan keutamaan kepada isu yang memberi kesan kepada rakyat, terutama kesihatan dan ekonomi mereka," katanya kepada Bernama.
Sivamurugan berkata rakyat juga mahu kerajaan memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha membendung penularan wabak COVID-19 bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti sedia kala.
Semalam, Muhyiddin dalam temu bual khas yang disiarkan di stesen televisyen tempatan menyatakan beliau tidak memikirkan soal politik kepartian sejak mula dilantik Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lepas.
Muhyiddin berkata beliau mengelak daripada mengeluarkan kenyataan berbaur politik kerana menyedari rakyat muak dengan cerita politik, terutama yang menyentuh soal parti dan status kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, Perdana Menteri berkata beliau menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang berdepan penularan virus tersebut dan merangka pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi negara terus stabil.
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya tidak menolak kepentingan politik terutama dalam mencetuskan dasar pemerintahan.
"Kebimbangan terbesar ialah mengenai wabak COVID-19 yang telah menyebabkan seluruh kehidupan rakyat di negara ini dari segi ekonomi dan sosial, terjejas. Rakyat lebih melihat kepada isu harian mereka, isu berkaitan punca pendapatan yang memerlukan perhatian dan tindakan," katanya.
Beliau berkata meskipun keutamaan sekarang ialah menangani wabak COVID-19, namun isu politik akan tetap bertiup kerana ia mempunyai tempat tersendiri dalam kalangan masyarakat Malaysia.
-- BERNAMA
#COVID-19 #ekonomi #kerajaan #kesihatan #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #politik #Prof Dr Sivamurugan Pandian #rakyat