'Tangani segera masalah banjir'
Sinar Harian
Januari 25, 2023 10:00 MYT
Januari 25, 2023 10:00 MYT
KLUANG: Penduduk Kampung Palembang, Kluang mahu pihak berwajib segera menangani permasalahan banjir yang kerap berlaku di kampung berkenaan, terutamanya setiap kali hujan lebat.
Tinjauan Sinar Harian ke pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Seri Perdana yang menempatkan penduduk kampung berkenaan mendapati rata-rata penduduk bimbang masalah banjir berkenaan akan bertambah buruk pada masa hadapan sekiranya tidak ditangani.
Seorang penduduk, Azlin Hashim, 42, berkata, kampung berkenaan memang kerap dilanda banjir sebelum ini dan sudah beberapa kali penduduk kampung dipindahkan ke PPS di SMK Seri Perdana.
Justeru, katanya, pihak berwajib perlu melakukan sesuatu dalam usaha memastikan kawasan berkenaan tidak lagi dilanda banjir.
“Ikutkan memang selalu banjir kat sini...kalau tak hujung tahun, awal tahun banjirlah, tambah lagi bila hujan lebat macam hari ni (Selasa).
“Tahun lepas sahaja dan berapa kali banjir dan lagi masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, dua kali banjir kat sini kami dipindahkan ke sinilah (SMK Seri Perdana).
“Jadi, harap perkara ni (banjir), tak berlaku lagilah sebab kami selalu risau bila hari hujan...takut banjir,” katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod, PPS di SMK Seri Perdana merupakan PPS yang mencatatkan jumlah mangsa paling ramai bagi daerah Kluang apabila setakat 5 petang Selasa, 58 keluarga melibatkan 196 mangsa telah ditempatkan di PPS berkenaan.
Selain SMK Seri Perdana, tiga lagi PPS dibuka melibatkan SJK © Ping Ming yang menempatkan mangsa banjir bagi kawsan SPKR Yap Tau Sah, Sekolah Agama Sri Tengah (Kampung Tengah Dalam) dan Kampung GSA Chamek (Kampung GSA Chamek).
Seorang lagi penduduk, Nor Zahira Bahaman, 41, berkata, dia sememangnya sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi banjir berkenaan sekali lagi apabila hujan pada awal pagi Selasa.
Katanya, kekerapan kampung berkenaan dilanda banjir setiap kali hujan lebat, membuatkannya bersiap sedia dengan memastikan segala dokumen dan peralatan penting sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Awal pagi Selasa tu dalam 2.30 pagi, hujan memang lebat...tapi, saya dah bersedia dengan semua barang-barang penting saya dah letak di tempat yang selamat supaya mudah saya capai bila banjir.
“Hari ini (Selasa), saya bersama suami dan tiga anak kami berada di pusat (PPS) ini. Sebelum ini kalau tak silap saya, kami juga pernah dipindahkan ke sini masa PKP...tak silap saya 2021 dan masa tu saya dan keluarga duk kat sini (PPS) dua hari,” katanya.
Bagi Mohd Amin Naian, 50, perpindahannya ke PPS di SMK Seri Perdana itu merupakan yang pertama bagi tahun 2023.
Bagaimanapun katanya, dia sempat mengalihkan barang-barang berharga seperti kereta dan motosikal yang dipindahkannya ke jalan besar berhampiran kampung berkenaan agar tidak turut dinaiki air.
“Untuk 2023, ini adalah kali pertama ke PPS. Hujan lebat ini bermula kira-kira 2.30 pagi dan ketika itu saya terus mempersiapkan barang-barang seperti dokumen penting, keluarkan kereta, motosikal dan bawa ke jalan besar.
“Dalam 8 pagi, saya mendapat arahan daripada ketua kampung untuk berpindah ke sini (PPS SMK Seri Perdana),” katanya.
Sementara itu Ketua Kampung Palembang, Md Ismail Sajidon, 65, mengakui banjir memang kerap berlaku di kampung berkenaan.
Bagaimanapun katanya, banjir kali ini agak serius hingga melibatkan penduduk kampung Palembang Lama dan Kampung Palembang Baru dipindahkan ke PPS di SMK Seri Perdana.
“Sebelum ini banjir yang berlaku tak berapa serius. Sebelum Covid berlaku sekali (banjir), selepas Covid sekali lagi dan selepas itu kampung berkenaan tidak lagi dilanda banjir.
“Namun, setelah hujan lebat pada awal pagi Selasa, kampung ini sekali lagi dilanda banjir dan memang agak serius apabila ramai penduduk kampung yang dipindahkan ke sini.
“Kita juga percaya banjir ini berlaku akibat limpahan air dari Sungai Mengkibol, Sungai Melantai dan Sungai Sembrong Timur di sini,” katanya. -Sinar Harian