Tangani segera isu pengangguran, pekerjaan bawah kelayakan - Shafie Apdal

Afiezy Azaman
September 17, 2021 10:14 MYT
Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan mempergiatkan usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi siswazah lepasan universiti. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan berpandangan isu pekerjaan di bawah kelayakan sebenar wajar diberi perhatian segera oleh kerajaan.
Justeru, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa kerajaan mempergiat usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi siswazah lepasan universiti.
Beliau menjelaskan, ini bagi memberikan ekuiti seimbang dalam pasaran kerja negara untuk berlaku adil kepada golongan B40 berkelayakan sederhana dan rendah.
"Pada tahun 2020, direkodkan jumlah siswazah yang bersedia untuk masuk ke pasaran kerja adalah seramai 260,701 orang.
"Namun jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah dalam negara pada tahun 2020 ini hanya 73,000 pekerjaan... merosot 31,000 dari tahun sebelumnya.
"Ini menyebabkan ramai antara siswazah ini mendapatkan pekerjaan di bawah daripada kelayakan yang mereka perolehi.
"Apabila mereka berebut mendapatkan pekerjaan melebihi daripada kelayakan -- sebagai contohnya pekerjaan yang dikhaskan untuk lepasan SPM atau diploma yang juga direbut bersama lepasan ijazah -- situasi ini sekali gus menyebabkan golongan lepasan SPM dan diploma terpaksa bersaing dengan lepasan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan.
"Impak pekerjaan bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan ia menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pada tahun 2020 sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran dan ia merangkumi 37.4 peratus jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah.
"Ini juga bermakna pada tahun 2020 sebanyak 1.89 juta pekerjaan yang sepatutnya dikhaskan untuk lepasan SPM dan diploma telah diisi oleh pekerja siswazah yang bekerja di bawah kelayakan.
"Situasi ini menunjukkan terdapat jurang ketidakpadanan (mismatching) yang besar dalam pasaran kerja di negara ini.
"Kajian menunjukkan bahawa “underemployment’ ini membawa kepada jurang kemiskinan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah B40.
"Mereka hilang pekerjaan bila mana pekerjaan mereka diambil oleh siswazah lepasan univerisiti dan boleh menyebabkan mereka jatuh dalam golongan “urban poor”.
"Ia turut memberikan implikasi yang sama kepada golongan berpendapatan sederhana, M40 yang berumur antara 45-60 tahun.
"Kehilangan pekerjaan boleh menyebabkan lebih ramai golongan M40 jatuh dalam bracket pendapatan B40 dan ini seharusnya dikekang," katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini mengeluarkan laporan pada bulan Julai 2021, seramai 778,200 orang penduduk Malaysia telah hilang pekerjaan atau masih menganggur, meningkat 4.8 peratus dari bulan sebelumnya sekali gus menjadikan kadar pengangguran pada bulan Julai 2021 adalah yang tertinggi untuk tahun ini.
Mohd Shafie menegaskan, walaupun Kerajaan telah memperuntukkan RM530 billion dalam lapan Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini, namun kadar pengangguran terus meningkat tanpa penyelesaian yang jitu.
Justeru itu, Kerajaan dicadangkan mengutamakan ekonomi gig dan keusahawanan bagi lepasan siswazah yang mencari pekerjaan.
Dalam masa sama, bekas Ketua Menteri Sabah itu berpandangan penjawatan secara kontrak dengan agensi Kerajaan dan syarikat berkepentingan Kerajaan boleh ditawarkan kepada golongan tersebut.
"Isu ketidakpadanan dalam pasaran kerja negara perlu diatasi segera agar tidak membantutkan usaha pemulihan ekonomi negara yang sedang berjalan," tambah beliau.
#Mohd Shafie Apdal #siswazah lepasan universiti #isu pekerjaan #underemployment
;