Tangani segera isu pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan - Asyraf Wajdi
Afiezy Azaman
Ogos 4, 2022 12:08 MYT
Ogos 4, 2022 12:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk segera menangani isu pekerjaan di bawah kelayakan pendidikan (underemployment).
Menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Malaysia mengalami dua jenis isu pekerjaan di bawah kelayakan iaitu penganguran berkaitan masa dan pengangguran berkaitan kemahiran.
"Jabatan Statistik Negara yang menyatakan kadar pengangguran setakat Mei 2022 adalah 3.9 peratus bersamaan 637,000 orang.
"Penganguran berkaitan masa setakat 2021 sebanyak 417,000 (2.8 peratus) manakala pengangguran berkaitan kemahiran adalah 285,000 (1.9 peratus) bagi tempoh sama," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Pengangguran berkaitan masa bermaksud pekerja yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu disebabkan pekerjaan yang tidak cukup.
Sementara pengangguran berkaitan kemahiran adalah mereka yang terpaksa bekerja di bawah kelayakan pendidikan mereka.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, fenomena graduan bekerja dalam industri Gig atau sebagai penghantar (p-hailing atau e-hailing) juga salah antara isu yang perlu ditangani.
"Kita harus sedar bahawa pengangguran dan 'underemployment' merupakan satu bentuk kerugian kepada negara, ianya berupa pembaziran sumber daya manusia.
"Sekiranya mereka yang menganggur ini berpeluang untuk bekerja, sudah pastinya saiz ekonomi negara akan jauh lebih besar dari sekarang hasil dari pertambahan potensi keluaran dan perkhidmatan yang dapat dihasilkan.
"Sekiranya 'underemployment' dapat dihapuskan dan pekerja yang berkepakaran berpeluang untuk bekerja di dalam pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran maka mereka akan dapat memberikan sumbangan produktiviti yang jauh lebih besar kepada ekonomi," jelasnya.
Asyraf turut menekankan pentingnya strategi penciptaan peluang-peluang pekerjaan yang dirangka secara komprehensif dan holistik mengambil kira pendekatan ekonomi yang progresif dan berdaya maju untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
"Ini pada masa sama mampu menarik minat pelabur-pelabur berkualiti yang berupaya mencipta pekerjaan berkualiti untuk rakyat termasuklah perencanaan projek-projek mega berdaya maju yang mampu mencetuskan anjakan drastik kepada ekonomi negara," ujar beliau lagi.