Tangani masalah masa depan bermula sekarang - Khairy
Hilal Azmi
Januari 12, 2018 17:49 MYT
Januari 12, 2018 17:49 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengalu-alukan syarikat serta agensi tempatan untuk bersama kerajaan dalam menangani masalah masa depan bermula sekarang.
Beliau memuji langkah Celcom Axiata menerusi program 'Parents Unite for Online Safety' dalam menjayakan aspirasi rakyat Malaysia menerusi Transformasi Nasional (TN50) bagi mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
"Aspirasi ini amat penting memandangkan kita menghadapi ancaman kes seperti buli siber, masalah kesihatan mental dan kurangnya interaksi dalam kalangan anak muda.
"Celcom menjadi yang pertama sahut aspirasi ini untuk dilaksanakan sebelum pelancaran TN50 sendiri," katanya pada perasmian program 'Parents Unite for Online Safety' di Menara Celcom di ibu negara.
Katanya lagi, setakat ini ada 10 aspirasi yang telah dikenal pasti dan boleh dimulakan dalam tempoh seminggu dua lagi.
"Tak perlu tunggu dasar TN50 dilancarkan pada September nanti.
"Masa depan bermula sekarang dan kami sedang meneliti setiap aspirasi TN50 yang dikemukakan agar ia cukup spesifik dan boleh dilaksanakan syarikat yang bakal bekerjasama nanti," katanya lagi.
Melalui program tersebut 175 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di seluruh negara akan dilengkapi KidSafe, iaitu aplikasi penapisan Internet.
Program tersebut turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, Brainy Bunch International Islamic Montessori, Protect and Save Children dan Kumpulan Wanita IKRAM.
#aspirasi TN50
#Brainy Bunch International Islamic Montessori
#Celcom Axiata Berhad
#Kanak-kanak
#keselamatan internet
#Khairy Jamaluddin
#Kumpulan Wanita IKRAM
#PI1M
#Protect and Save Children
#pusat internet 1malaysia
#Transformasi Nasional 2050