Tangani masalah gelandangan secara bersama - Abang Johari
Bernama
September 15, 2024 19:27 MYT
September 15, 2024 19:27 MYT
KUCHING: Masalah gelandangan perlu ditangani secara bersama di peringkat negeri dan Persekutuan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ringkasan AI
- Masalah gelandangan perlu ditangani bersama oleh kerajaan negeri dan Persekutuan, dengan bantuan dan sokongan seperti sesi kaunseling dipertingkatkan.
- Kerajaan Sarawak membangunkan pusat bantuan dan pusat transit gelandangan untuk mengurangkan jumlah gelandangan yang tidur di jalan raya.
- Inisiatif seperti Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan program Kembara KASIH membantu menaik taraf aspek psikososial masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata bantuan serta sokongan seperti sesi kaunseling kepada golongan gelandangan harus dipertingkatkan, selain memastikan kebajikan mereka terjaga.
"Jadi, kita (kerajaan) turut membantu mereka dengan membangunkan pusat-pusat untuk mendapatkan bantuan.
"Kita juga menggalakkan mereka supaya tidak tidur di jalan raya kerana kita menyediakan pusat transit gelandangan," katanya.
"Maknanya, aspek psikologi juga penting, jadi perlu banyak kaunseling oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya kita dapat mengurangkan jumlah gelandangan.
"Di Sarawak, kita memberi peruntukan untuk sokongan sosial dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kembara KASIH KPWKM 2024 dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak di Tebingan Kuching, hari ini.
Abang Johari berkata inisiatif kerajaan seperti PSSS membantu menaik taraf aspek psikososial masyarakat di negeri ini, khususnya penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
"Usaha wujudkan PSSS ini sangat penting, dan saya rasakan program kembara sebegini sedikit sebanyak dapat meningkatkan kesedaran untuk kita bantu masyarakat Malaysia di seluruh negara," katanya.
PSSS Bergerak yang pertama di Sarawak akan turut mengikuti Kembara KASIH dengan menyediakan perkhidmatan seperti sesi bimbingan dan kaunseling, saringan kesihatan mental serta rujukan bantuan kebajikan.
Kembara KASIH KPWKM yang berlangsung hingga 22 Sept ini dilaksanakan di lapan daerah negeri meliputi Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang dan Lawas meliputi kira-kira 1,456 kilometer.
Pelbagai perkhidmatan percuma ditawarkan agensi di bawah KPWKM sepanjang program itu seperti Program Komuniti Santuni, MADANI, Program Advokasi Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak dan Program Outreach Advokasi Antigangguan Seksual.
Turut hadir, Menteri KPWKM Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Ketua Setiausaha KPWKM Dr Maziah Che Yusoff.
-- BERNAMA