Tangani jangkitan saluran kencing - Pencegahan dan rawatan
Bernama
Disember 17, 2024 04:30 MYT
Disember 17, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pengesanan awal dan penjagaan kebersihan yang betul adalah penting dalam mencegah Jangkitan Saluran Kencing (UTI), satu daripada jangkitan yang paling lazim di seluruh dunia.
Menurut kajian, satu daripada dua wanita serta satu daripada 20 lelaki berisiko dijangkiti UTI sekali seumur hidup pada suatu ketika dalam hidup mereka dan penyakit ini telah menjejaskan kehidupan jutaan individu setiap tahun, khususnya wanita, dan boleh membawa kepada komplikasi serius jika tidak dirawat.
Pakar Perunding Uroginekologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Tan Gaik Imm dalam satu kenyataan pada Selasa menjelaskan, UTI boleh menjejaskan mana-mana bahagian sistem saluran kencing termasuk buah pinggang, ureter, pundi kencing dan uretra.
Beliau berkata, pundi kencing ialah organ yang paling kerap dijangkiti sehingga menyebabkan sistitis, sejenis UTI paling lazim terutama sekali dalam kalangan wanita.
"Gejala biasa UTI adalah rasa panas dan perit sewaktu membuang air kecil, air kencing kelihatan keruh, berbau busuk atau berdarah," katanya sambil menambah dalam kes lebih teruk, jangkitan mungkin merebak ke buah pinggang sehingga menyebabkan rasa sakit di bahagian tepi belakang (iaitu kedudukan buah pinggang) dan kesakitan ini mungkin berserta dengan demam, tubuh menggigil pada waktu malam atau hilang selera makan
Dr Tan berkata, UTI lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita adalah disebabkan faktor anatomi kerana uretra mereka yang pendek serta jarak antara uretra dan dubur yang lebih dekat, menyebabkan bakteria daripada usus lebih mudah merebak ke bahagian pundi kencing.
Amalan kebersihan kurang optimum seperti mengelap dari belakang ke depan sewaktu menggunakan tandas boleh menyebabkan bakteria tersebar ke dalam saluran kencing secara tidak sengaja sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.
Kaedah kontraseptif seperti kondom bersalut spermisid mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan bakteria.
Bagi penghidap diabetes, mereka berisiko lebih tinggi kerana keupayaan tubuh untuk melawan jangkitan telah terjejas.
"Wanita selepas menopaus, khususnya lebih mudah terdedah kepada jangkitan UTI. Ini kerana persekitaran kering pada saluran kencing dan faraj boleh mengganggu keseimbangan bakteria pelindung," katanya.
Bagi mereka yang terdedah kepada UTI berulang kali, Dr. Tan menasihati untuk mengamalkan langkah pencegahan yang mudah iaitu kencing sebelum dan selepas aktiviti seksual mungkin boleh mengurangkan kebarangkalian bakteria memasuki saluran kencing.
Dr Tan berkata, pencegahan lazimnya bermula dengan tabiat harian iaitu mandi menggunakan air mengalir lebih baik berbanding berendam kerana berendam dalam air bagi tempoh yang lama boleh mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi.
Beliau menyarankan kekal terhidrat dengan meminum 1.5 hingga dua liter air setiap hari untuk menyingkirkan bakteria daripada sistem saluran kencing serta kerap menukar pad (tuala wanita atau pelapik seluar dalam) semasa haid untuk mengurangkan pembiakan bakteria.
Menjaga kebersihan termasuk amalan mencuci tangan dengan betul dan memakai seluar dalam yang diperbuat daripada kapas untuk mengekalkan tahap kebersihan.
"Bagi wanita yang gemar berenang tetapi sering mendapat jangkitan UTI, cuba tukar pakaian mandi yang basah tersebut sejurus selepas berenang kerana keadaan yang lembap menyokong pembiakan bakteria, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan UTI.
"Seandainya cara ini tidak berkesan, cuba tukar lokasi kolam renang atau elakkan diri daripada menggunakan kolam renang selama beberapa minggu walaupun kolam renang tersebut berklorin bagi menentukan sekiranya ada penambahbaikan pada gejala yang dialami," katanya.
Walaupun suplemen kranberi sering dijadikan sebagai ubat semula jadi, Dr Tan memberi amaran sesetengah jus kranberi di pasaran mungkin mempunyai kandungan kranberi yang tidak mencukupi dan mengandungi banyak gula yang boleh menjejaskan penghidap diabetes.
Beliau turut menjelaskan satu tanggapan salah tentang UTI iaitu separa mencangkung di tandas boleh membantu mencegahnya sebaliknya amalan ini tidak baik dan duduk dengan betul atau mencangkung sepenuhnya di tandas jenis cangkung bagi memastikan penting bagi merehatkan otot pelvis dan pundi kencing dikosongkan sepenuhnya.
Dr Tan menambah bahawa pengesanan adalah penting untuk UTI. Ujian air kencing adalah kaedah utama, dan jika hasil keputusan tidak jelas, pengkulturan air kencing akan dilakukan untuk mengenal pasti bakteria khusus yang menyebabkan jangkitan.
Beliau berkata, walaupun pesakit mencuba merawat diri sendiri rawatan minum lebih banyak air atau mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor, langkah ini mungkin memberikan kelegaan sementara.
Diagnosis awal dan rawatan tepat pada masanya adalah pertahanan terbaik terhadap jangkitan UTI yang boleh bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih berbahaya, kata beliau. - BERNAMA