Tangani isu pengangguran anak muda, ekonomi gig bukan penyelesaian - Wei Kiat
Astro Awani
Ogos 22, 2022 11:10 MYT
Ogos 22, 2022 11:10 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa mengambil tindakan drastik dan strategik bagi menangani isu pengangguran anak muda dan sebilangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih untuk tidak menyambung pengajian.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, masalah itu perlu diselesaikan segera demi masa depan negara.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, Pertubuhan Buruh (ILO) Antarabangsa memberi amaran bahawa anak muda sedang berada dalam krisis pekerjaaan disebabkan keperluan tenaga buruh atau pekerjaan yang ditawarkan tidak sejajar dengan minat golongan muda.
Ia disebabkan kerajaan didakwa lebih menumpukan peluang pekerjaan berkemahiran rendah.
"Kekurangan peluang pekerjaaan yang berkualiti bagi graduan yang mempunyai kemahiran sederhana dan tinggi akan menyebabkan anak muda kita terpaksa bersaing dengan pekerja buruh asing yang bergaji rendah dan secara tidak langsung menyebabkan produktiviti dan inovasi buruh negara merundum dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia turut menurun.
"Kerajaan harus mengambil serius dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk membantu industri pekerjaan menjalani transformasi supaya industri negara kita secara pantas bertukar pergantungan kepada teknologi baru, meningkatkan produktiviti lantas mampu menawarkan peluang pekerjaan yang menarik dan bernilai tinggi kepada golongan anak muda," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wei Kiat berkata demikian sebagai mengulas laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dikemaskini pada bulan Jun lalu , bahawa kadar pengangguran anak muda Malaysia yang berumur 15 hingga 24 tahun mencecah 15.6 peratus berbanding tahun 2021.
Katanya lagi, pekerjaan ekonomi gig yang didominasi golongan anak muda sekarang bukan satu penyelesaian yang baik dan bukan pekerjaan bagi jangka masa panjang.
Ia berikutan ekonomi gig jelasnya, hanya penyelesaian jangka masa pendek bagi menjana pendapatan tambahan anak muda dan kerajaan sepatutnya melatih anak muda menguasai kemahiran yang mampu menjana lebih banyak pendapatan.
"Anak muda kini menghadapi situasi yang sukar melihatkan kepada prospek masa depan pekerjaan tetap yang terjejas teruk dan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk "wang segera" melalui sektor ekonomi gig yang tidak mampan disebabkan kekurangan peluang pekerjaan yang bermaruah," ujarnya lagi.