Tangani Daish lebih susah daripada komunis - TPM

Bernama
November 1, 2016 16:56 MYT
TPM: Dahulu kita mempunyai pengalaman menghadapi komunis bersama-sama negara barat yang menghadapi ancaman sama.
Menangani ancaman kumpulan militan Daish adalah lebih susah berbanding ancaman komunis satu ketika dahulu berikutan kurang pengalaman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Dahulu kita mempunyai pengalaman menghadapi komunis bersama-sama negara barat yang menghadapi ancaman sama.
"Sekarang kita tiada pengalaman (tangani Daish). Perkongsian dengan negara Timur Tengah juga agak terbatas berikutan kekangan pemahaman yang berbeza kerana Malaysia merupakan negara Islam dengan pemahaman yang sederhana," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Dialog Memerangi Keganasan Asia-Eropah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri merupakan seorang daripada penceramah utama pada dialog itu dengan beliau berkongsi pentas dengan Setiausaha Negara Parlimen di Kementerian Dalam Negeri Jerman Dr Gunter Krings MdB.
Mereka mengupas topik "Landskap Ancaman Baharu di Asia dan Eropah".
Pada dialog itu, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata Malaysia bersedia berkongsi modul deradikalisasinya dengan Eropah yang bagi tempoh 10 tahun lepas telah berjaya meradikalisasikan kira-kira 240 tahanan, dengan kadar kejayaannya kira-kira 97.5 peratus.
"Kami telah menggunakan pengetahuan luas kami dalam menangani elemen-elemen subversif semasa perjuangan kami menentang komunis untuk merumuskan program yang amat berkesan ini," katanya.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata Deradikalisasi Bersepadu Pengganas telah dibangunkan oleh Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia.
"Kini ia digunakan oleh kami dalam proses meradikalisasi pengganas yang ditahan di Malaysia," katanya.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata ini merupakan masa yang amat penting untuk kami meningkatkan kerjasama dan persahabatan dengan Eropah dalam menangani ancaman Daish.
"Apa yang Asia dan Eropah telah lakukan setakat ini hanya membabitkan usaha penegahan tetapi masih belum membuahkan hasil dalam menentukan punca keganasan," katanya.
Menjawab soalan daripada audien mengenai bila dan bagaimana ancaman Daish dapat ditangani, Datuk Seri Ahmad Zahid menjawab: "Fahami orang Islam (kerana Daish sentiasa dikaitkan dengan orang Islam.
"Kita perlu terlebih dahulu cari puncanya kenapa keganasan berlaku. Kenapa wujud Islamofobia.
"Islam menggalakkan keamanan. Apa-apa sahaja yang menentangnya (keamanan), ia bukan cara Islam," katanya sambil membacakan ayat khusus dalam al-Quran mengenai 'keamanan'.
Datuk Seri Ahmad Zahid turut memberikan contoh Singapura yang melayani rakyat beragama Islam dengan baik walaupun ia bukan sebuah negara Islam.
"Contohnya, kerajaan Singapura menjaga dengan baik masjid-masjid di negara ini," katanya.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana dan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga hidup bersama-sama dalam keadaan aman dan harmoni. - Bernama
#Ahmad Zahid Hamidi #ancaman #daish #komunis #militan
;