Tangani banjir secara bersepadu - Zambry
Nazialita Geynna Maharan
November 7, 2017 14:07 MYT
November 7, 2017 14:07 MYT
Satu pelan menyeluruh bagi mengendalikan masalah banjir wajar dirangka dengan mengambil kira semua aspek terutama keselamatan dan kebajikan mangsa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata masalah banjir itu perlu ditangani secara bersepadu melibatkan semua agensi penyelamat dan jabatan kerajaan bagi memastikan situasi itu diselesaikan segera.
Tegasnya, mana-mana agensi atau jabatan diingatkan tidak mengalihkan tanggungjawab serta menuding jari kepada pihak lain sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir.
"Saya tidak mahu mendengar alasan bahawa ini tanggungjawab agensi itu dan sebagainya kerana kita mempunyai pendekatan duduk bersama serta mencari penyelesaian berbanding menuding jari," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di beberapa kawasan banjir di sekitar Kampung Sumpitan di sini pada petang Isnin.
Tambahnya, pendekatan adhoc bagi menangani kejadian banjir yang berulang buat beberapa tahun di kawasan Hulu Perak kini dilihat sebagai tidak relevan memandangkan faktor banjir yang sudah berubah.