Tangan tersepit mesin penggelek kertas

Sinar Harian
September 19, 2018 21:22 MYT
Pekerja kilang berkenaan yang berusia 48 tahun itu tersepit hingga pergelangan tangan. - Foto Sinar Harian
Seorang lelaki terpaksa menahan sakit lebih setengah jam selepas tangannya tersepit dalam mesin penggelek kertas di sebuah kilang pembungkusan di Jalan Perusahaan 3, Taman Kerian, di sini, petang tadi.
Pekerja kilang berkenaan yang berusia 48 tahun itu tersepit hingga pergelangan tangan dalam kejadian kira-kira jam 4 petang.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Pegawai Bomba Kanan II Abdul Talib Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 4.13 petang.
“Sebaik sahaja tiba lima minit kemudian, kita dapati tangan kanan mangsa masih tersepit pada mesin dan beberapa juruteknik kilang sedang cuba membantu namun gagal.
“Anggota bomba bertindak membuka penutup mesin itu dan merenggang roller penggelek kertas itu dengan menggunakan alat khas. Kerja menyelamat mengambil masa lebih 30 minit,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada jam 4.50 petang.
#bomba #gelek #Hospital #Hospital Parit Buntar #mangsa #pekerja kilang #penggelek #tersepit
;