Tangan tersangkut dalam salur tandas gara-gara pemetik api
Bernama
Jun 29, 2017 07:30 MYT
Jun 29, 2017 07:30 MYT
Pastinya tidak berbaloi, menahan sakit lebih tiga jam semata-mata hendak mendapatkan kembali pemetik api yang terjatuh ke dalam mangkuk tandas.
Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang Khamis, tangan mangsa tiba-tiba terlekat dalam saluran besi mangkuk tandas tersebut.
Ketika itu mangsa, 30, berseorangan di rumahnya di Flat Aman 2, Taman Seri Kemuning, Temerloh.
Mujur seorang jiran yang lalu di depan unit kediaman mangsa menyedari kejadian itu, lalu menghubungi pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussain berkata sebuah jentera bersama seorang pegawai dan empat anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu.
"Di lokasi, pihak bomba mendapati tangan kanan mangsa terlekat dalam salur lubang tandas dan mereka terpaksa menggunakan pemecah batu serta pemotong besi bagi mengeluarkan tangan mangsa," katanya.
Menurutnya, dalam operasi hampir 3 jam itu, pihak bomba terpaksa memecahkan mangkuk tandas sebelum berjaya mengeluarkan tangan mangsa bersama salur paip besi.
Mangsa dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan dan menjalani proses memotong saluran besi berkenaan bagi mengeluarkan tangannya," kata Hashnuddin.
Menurutnya mangsa, yang identitinya tidak dinyatakan, dilaporkan dalam keadaan stabil dan hanya mengalami bengkak pada lengan.
Operasi tamat pada pukul 7.43 malam, katanya.
-- BERNAMA