Tangan putus tersepit mesin pemecah batu
Azee Shafy
April 26, 2022 16:05 MYT
April 26, 2022 16:05 MYT
ROMPIN: Seorang lelaki putus tangan kirinya selepas tersepit pada mesin pemecah batu di salah sebuah kilang di Keratong Timur, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 10.20 pagi dan lapan anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa, Dil Akbar Kamarudin, 51 yang dipercayai pekerja di kilang itu sedang melakukan kerja rutin sebelum tangan kirinya tersangkut pada mesin terbabit.
"Semasa anggota tiba di lokasi, tangan mangsa telah terputus dari paras siku dan melekat pada mesin itu. Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.
"Operasi mengeluarkan tangan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas untuk melonggarkan tali sawat mesin dan tangan mangsa telah diserahkan kepada majikan mangsa untuk diserahkan kepada pihak hospital," katanya.