Tangan kanak-kanak tersangkut dalam mesin 'tikam'

Noraniza Kamsani
April 12, 2019 17:30 MYT
Pihak bomba terpaksa menggunakan pemutar skru dan pisau khas untuk mengumpil cermin sisi mesin itu. - Foto JBPM
Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir 30 minit selepas tangannya terlekat di dalam mesin permainan 'tikam' di kedai runcit di Taman Bahagia Baru, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, kanak-kanak berusia empat tahun itu dikatakan pergi ke kedai runcit berkenaan bersama ibunya.
Mangsa dipercayai bermain di mesin permainan itu sebelum memasukkan tangan kanannya ke dalam lubang mesin itu, namun tersekat untuk dikeluarkan.
Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bukit Angin, Penolong Penguasa Bomba Hasnuddin Husin, pihaknya yang mendapat panggilan kecemasan daripada orang awam kemudian bergegas ke tempat kejadian.
"Sampai di tempat kejadian, pihak kami terpaksa memecahkan mesin itu menggunakan alatan khas bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak itu.
"Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan tangan kanak-kanak itu sebelum anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata jari kanak-kanak itu dipercayai tersangkut pada besi yang menahan bola-bola dalam mesin itu semasa dia menghulurkan tangan untuk mengambil salah satu bola.
"Pihak bomba menggunakan pemutar skru dan pisau khas untuk mengumpil cermin sisi mesin itu dan perlu mengeluarkan semua bola di dalamnya sebelum dapat melepaskan jari mangsa," katanya.
#bomba #Bukit Angin #JBPM #Kanak-kanak #kedai runcit #mesin tikam #sangkut #tangan #temerloh #tersangkut jari #usaha menyelamat
;