Tanding PRU sebab agenda peribadi? Itu cakap-cakap 'haters' - Azwan Ali
Madiha Abdullah
Mei 2, 2018 08:05 MYT
Mei 2, 2018 08:05 MYT
Calon Bebas DUN N19, Azwan Ali, tidak mahu melayan kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya apabila bertanding dalam Pilihan Raya ke 14 tahun ini.
Sebaliknya, Azwan mahu menumpukan perhatian terhadap usahanya mendekati rakyat yang menjadi agenda utama dalam kempennya.
Bekas pengacara terkenal itu menegaskan apa yang lebih penting adalah dia sendiri jelas dengan mengapa dia mengambil keputusan untuk membabitkan diri dalam politik.
GALERI FOTO: Penamaan Calon: Azwan Ali jadi tumpuan di Ampang
"Orang cakap saya bertanding sebab ada agenda peribadi, sebab perseteruan dengan Azmin. Itu semua cakap-cakap haters dan saya tak mahu layan kerana fokus saya sekarang adalah berkempen dan mendekati masyarakat di Bukit Antarabangsa.
"Kalau kalah dan saya tak boleh jadi YB, siapa tahu selepas ini saya jadi senator, seperti Allahyarham Tan Sri Jins Samsudin?" katanya ketika ditemui dalam acara Memasak Rendang Chef Diva AA Santai Bersama Rakyat Malaysia di Bukit Antarabangsa, pada Isnin.
Azwan juga sempat menjawab kenyataan abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dia dibayar untuk bertanding.
"Kalau dia tak sedar saya siapa, biar rakyat sedar. Saya lulusan undang-undang, suka hati sayalah nak bertanding. Saya tak guna duit dia pun!" katanya.
"Saya pilih untuk masak rendang sebagai cara berkempen kerana ceramah politik bukan cara saya. Lagipun, rendang masakan yang disukai semua rakyat Malaysia," tambahnya.
Ditanya tentang perancangannya jika menerima kepercayaan rakyat, ini jawapan Azwan:
"Perkara pertama saya akan buat, bermula 10 Mei nanti saya masak rendang selama seminggu untuk orang-orang Bukit Antarabangsa. Percuma dan semua golongan boleh menikmatinya.
"Saya juga akan mencuci tandas rumah peminat yang terpilih. Tapi kena buktikan anda betul-betul peminat saya," katanya.
PRU14 kali ini menyaksikan Azwan menentang abangnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR, Ahmad Kamarudin (Parti Rakyat Malaysia), Salwa Yunus (Barisan Nasional) dan Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS).
#Azmin Ali
#Azwan Ali
#Barisan Nasional
#Bukit Antarabangsa
#calon
#Malaysia Memilih
#PAS
#pilihan raya
#PKR
#politik
#PRU14
#rakyat