Tanding jawatan Ketua Wanita Umno: Halimah 'kunci mulut'

Bernama
Julai 2, 2013 20:56 MYT
Anggota Parlimen Tenggara Datuk Halimah Sadique hanya 'kunci mulut' berhubung kemungkinan beliau berminat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti tahun ini.
Halimah, yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang ditemui di Lobi Parlimen hari ini hanya menunjukkan isyarat mengunci (zip) mulut beberapa kali kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan ketua sayap Umno itu.
"Tak mahu, tak mahu (komen)," katanya.
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil baru-baru ini mengesahkan hasrat mempertahan jawatan itu, yang dimenanginya pada 2009 selepas berdepan persaingan dengan Tan Sri Rafidah Aziz.
Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said sudah menyatakan minat untuk mencabar Shahrizat.
Halimah dilantik menganggotai Kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak selepas berjaya mengekalkan kemenangannya di Parlimen Tenggara selama dua penggal berturut-turut sejak 2008.
Bekas Ketua Wanita Umno Johor itu memulakan karier politik pada 1995 selepas terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Lambak pada pilihan raya umum ke-9.
#halimah sadique #Rafidah Aziz #Wanita UMNO
;