Tandatangan digital tingkat keselamatan transaksi, jamin integriti dokumen - MCMC
Bernama
November 1, 2023 15:10 MYT
November 1, 2023 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Penggunaan tandatangan digital khususnya pada dokumen penting yang mempunyai risiko kewangan atau perundangan dapat meningkatkan keselamatan transaksi dalam talian sekali gus menjamin kesahihan dan integriti sesuatu dokumen itu.
Ketua Jabatan Transformasi Penggunaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohd Fairus Muhamad berkata ini kerana selepas tandatangan digital dibuat pada sesuatu dokumen, sijil digital akan dikepilkan pada dokumen itu dan ia tidak boleh lagi diubah kerana sebarang perubahan walaupun satu huruf dapat dikesan.
"Proses sijil digital dihasilkan menggunakan algoritma kriptografi tidak simetri. Ia mempunyai kunci awam dan kunci persendirian yang dikeluarkan badan perakuan berlesen, iaitu kunci awam memastikan kesahihan identiti penandatangan manakala kunci persendirian menghasilkan sijil digital perakuan pada tandatangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara: Bicara MCMC bertajuk 'Tandatangan Digital: Pastikan Data Peribadi Selamat' terbitan Bernama TV malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd Fairus berkata ekosistem tandatangan digital yang dipercayai dan selamat juga menjadi elemen penting bagi memastikan keselamatan transaksi dalam talian sekali gus mengelakkan mana-mana individu daripada menjadi mangsa penipuan (scam).
"Ekosistem ini melibatkan MCMC sebagai pengawal selia yang melesenkan dan mengawal selia aktiviti Pihak Berkuasa Pemerakuan Berlesen (CA) serta memastikan pematuhan terhadap Akta Tandatangan Digital 1997 dan Peraturan-Peraturan Tandatangan Digital 1998.
"CA berperanan dalam mengeluarkan sijil digital kepada pelanggan, mengendalikan repositori diiktiraf dan memastikan penggunaan Prasarana Kekunci Awam yang selamat dan dipercayai. Seterusnya, terdapat juga juruaduit bertauliah bertanggungjawab dalam melaksanakan audit prestasi terhadap CA dan mengemukakan laporan audit kepada MCMC," katanya.
Dalam hal ini, beliau berkata pelanggan atau pemilik sijil digital juga mestilah menjaga dan menyimpan kunci persendirian dengan selamat seperti yang termaktub dalam Seksyen 43, Akta Tandatangan Digital 1997.
"Berdasarkan akta berkenaan, Seksyen 43 memperuntukkan bahawa kewajipan pelanggan atau individu atau pengguna untuk menyimpan kunci persendirian dengan selamat dan mencegah pendedahan kepada mana-mana orang.
"Pengguna perlu melindungi tandatangan digital daripada dikompromi, individu dan organisasi haruslah mengikuti kaedah terbaik seperti menjaga kunci persendirian, menggunakan kata laluan kukuh atau perlindungan kata laluan, kerap kemas kini perisian tandatangan digital dan memastikan sekuriti peranti yang digunakan untuk menandatangani dokumen," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Forum Pengguna Malaysia (CFM) Megat Ishak Maamunor Rashid yang menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Kemudaratan Dalam Talian: Penjualan Tidak Sah', berkata bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan jualan dalam talian, terdapat beberapa perkara menjadi red flag yang boleh diberikan perhatian.
"Tanda red flag yang kita kena berhati-hati bila nak beli sesuatu barang seperti penjual minta nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor akaun dan alamat rumah...selain itu, pengguna juga perlu berhati-hati sekiranya barang yang ditawarkan jauh lebih murah daripada biasa.
"Pengguna juga boleh meminta penjual untuk membuat penghantaran terus jualan (COD), kalau dia kata tidak boleh jangan beli atau kalau dia buat COD pastikan barang itu dibuka di hadapan penghantar untuk periksa barang tersebut," katanya.
Beliau berkata kebiasaannya mangsa penipuan jualan dalam talian itu disebabkan mereka kurang kesedaran dan membeli barangan bukan di platform perniagaan seperti Lazada, Shopee atau seumpamanya.
"Kita di CFM tidak mengambil kes berkaitan scam atau penjualan haram, tetapi kita lebih kepada meningkatkan tahap kesedaran pengguna berkaitan hal seperti ini," katanya.
-- BERNAMA