Tandas sekolah: KPM sediakan sumbangan bantuan penyelenggaran kepada SBK

Bernama
September 14, 2023 15:03 MYT
KPM mengulas laporan dibangkitkan sesetengah pihak mengenai peruntukan khas pelaksanaan kerja-kerja naik taraf tandas dan penyelenggaraan institusi pendidikan kerajaan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan sumbangan bantuan penyelenggaraan kepada sekolah bantuan kerajaan (SBK) di seluruh negara pada tahun ini.
KPM berkata sumbangan bantuan penyelenggaraan SBK dibuat berdasarkan kepada Garis Panduan Pengurusan Sumbangan Bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2021 dan Tatacara Pengurusan Sumbangan Bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan Tahun 2023.
Ia selaras dengan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
KPM berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini sebagai mengulas laporan dibangkitkan sesetengah pihak mengenai peruntukan khas pelaksanaan kerja-kerja naik taraf tandas dan penyelenggaraan institusi pendidikan kerajaan.
"Walaupun peruntukan khas ini diberi khusus kepada sekolah kerajaan (SK), KPM tidak sama sekali meminggirkan kebajikan SBK," kata KPM dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA
#KPM #isu tandas sekolah #SBK #peruntukan kerajaan
;