'Tandas, bilik mandi pun hanyut'
Sinar Harian
Oktober 9, 2021 10:35 MYT
Oktober 9, 2021 10:35 MYT
PARIT BUNTAR: Bukan sahaja pelantar ikan, tandas dan bilik mandi juga pernah dihanyutkan arus.
Itulah sebahagian pengalaman yang ditempuhi oleh penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Raja Bashah, Kuala Kurau di sini kesan hakisan tebing yang berlaku di Sungai Kurau sejak berpuluh tahun lalu.
Kesan hakisan sepanjang hampir 200 meter itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 15 kediaman penduduk yang tinggal berhampiran tebing berisiko untuk runtuh.
Penduduk, Suhaila Omar, 44, berkata, hujan lebat dan fenomena air pasang besar mengakibatkan hakisan lebih teruk berlaku.
Menurut Suhaila, rumahnya yang didiami sejak dua dekad lalu itu telah beberapa kali mengalami kerosakan akibat limpahan air sungai hingga sebahagian dinding rumah terhakis.
"Paling saya tak boleh lupakan apabila bilik mandi dan tandas rumah dihanyutkan arus kira-kira lima tahun lalu.
"Ketika itu pusaran air berlaku sangat laju dan tinggi, sekelip mata sahaja runtuhan berlaku, mujurlah kesan itu tidak mengenai bahagian rumah yang lain," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri di sini pada Jumaat.
Nelayan, Hamdan Saari, 63, berkata, sejak tahun 2000 sehingga sekarang, sudah lima kali pelantar ikan yang dibina di belakang rumahnya dipindahkan kerana kedudukannya tidak selamat kesan hakisan tebing.
Menurut Hamdan, pelantar yang dijadikan pendaratan ikan itu dahulunya dibina kira-kira 20 meter dari tebing, namun sekarang ia kurang 10 meter dari rumah.
Kesan hakisan yang berlaku menyebabkan kedudukan pelantar ikan milik Hamdan tidak lagi selamat.
"Dulu ban ini pernah ditambak dengan kayu bakau, tetapi masih tidak mampu untuk menampung hakisan dan sekarang ini keadaan menjadi semakin membimbangkan.
"Saya sendiri ambil inisiatif menambak bahagian belakang rumah menggunakan bahan binaan terpakai seperti tanah dan batu untuk melambatkan hakisan, tetapi sampai bila, mungkin dalam tiga ke empat tahun lagi hakisan lebih teruk berlaku," katanya.
Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Man, 75, menjelaskan, kawasan belakang rumahnya dulu dipenuhi pokok api-api dan bakau sebagai penampan hakisan.
"Sekarang tidak ada apa yang tinggal, pokok api-api pun semuanya dah tumbang disebabkan hakisan.
"Kami ini siang malam tidur tak lena bimbang kalau-kalau sesuatu yang buruk berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Yunus yang juga Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil Perak berkata, isu terbabit akan dibawa ke Mesyuarat Exco minggu hadapan untuk perhatian dan tindakan sewajarnya.
Pihaknya sebelum ini telah mencadangkan agar tebing konkrit dibina di kawasan hakisan itu sebagai langkah jangka panjang, namun memerlukan kajian dan kelulusan pelbagai pihak kerana ia melibatkan kos tinggi.
"Kerja-kerja tambakan dibuat sebelum ini pun belum cukup kuat untuk menampung hakisan berlaku jadi pembinaan tembok batu paling sesuai.
"Kosnya agak tinggi, tetapi ia boleh dilakukan secara berperingkat demi menjamin keselamatan penduduk di kawasan RPT ini," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.