Tandas awam Plaza Tol Tapah ditutup esok sehingga 11 Ogos
Bernama
Mei 31, 2023 19:32 MYT
Mei 31, 2023 19:32 MYT
IPOH: Tandas awam di Hentian Sebelah Plaza Tol Tapah di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup selama dua bulan mulai esok hingga 11 Ogos bagi memberi laluan kerja-kerja menaik taraf kemudahan tersebut.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini berkata kerja naik taraf itu bagi memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya.
"Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tandas awam yang disediakan di Kawasan Rehat dan Rawat plaza-plaza tol atau hentian sebelah plaza tol berdekatan.
"Pengguna juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan atau mendapatkan maklumat trafik dengan menggunakan aplikasi PLUS,"katanya.
Katanya, PLUS mengucapkan terima kasih kepada pelanggan lebuh raya di atas perhatian dan kerjasama yang diberikan.
-- BERNAMA