'Tanda Putera' bukanlah filem kontroversi - Perwakilan UMNO

Aizat Sharif
Disember 6, 2013 10:06 MYT
KUALA LUMPUR: Rata-rata perwakilan dan pengunjung yang menonton tayangan percuma filem kontroversi 'Tanda Putera' yang disiarkan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 semalam menganggap filem tersebut tidaklah mempunyai elemen kontroversi seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.
Tinjauan Astro AWANI ketika tayangan tersebut dimulakan sekitar jam 9.30 malam, terdapat tidak lebih dari 400 orang menonton filem tersebut dan kebanyakan mereka menontonnya buat pertama kali.
Namun, ketika pertengahan dan juga diakhir babak filem tersebut, terdapat segelintir kecil perwakilan dan pengunjung yang meninggalkan dewan tanpa menyudahkan tontonan.
Sebilangan besar bagaimanapun terus menonton filem tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu dilantik, Profesor Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata filem tersebut wajib ditonton oleh semua masyarakat tanpa mengira latar belakang dan bangsa.
"Filem ini wajib ditonton oleh semua, bukan sahaja orang Melayu tetapi bukan Melayu pun patut turut sama menontonnya. Mungkin ada terdapat insiden-insiden dalam filem berkenaan yang tidak digemari oleh orang bukan Melayu tetapi saya rasakan filem itu sebenarnya mengajar kita semua sebagai rakyat Malaysia agar tidak mengulangi kejadian atau peristiwa hitam yang pernah kita lalui dahulu," kata beliau.
Ibrahim yang juga mantan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menambah, intipati filem tersebut tidaklah berbaur perkauman sebaliknya ianya adalah gambaran sebenar apa yang berlaku pada ketika waktu itu.
"Di Amerika Syarikat juga, kalau kita tengok banyak filem-filem mereka yang bebas menggambarkan sesuatu kaum melakukan perkara yang tidak baik seperti penganiayaan kepada sesuatu kaum namun pada pengakhirannya, kaum-kaum tersebut masih dapat hidup dan bekerjasama dan ini bukanlah sesuatu yang direka cipta tetapi ianya adalah sejarah dan realiti yang berlaku.
"Cumanya di Malaysia ini, sesuatu perkara yang betul itu tidak mahu diterima, sepatutnya perkara-perkara yang berlaku itu kita jadikan sebagai satui kesilapan yang kita cuba perbetulkan," katanya lagi.
Sementara itu, veteran UMNO, Jalil Mohamad Noor, 67, dari Bagan, Butterwoth, Pulau Pinang berpendapat filem tersebut seharusnya diperluaskan ke kawasan luar bandar melalui penayangan berbentuk 'wayang padang atau wayang pacak'.
"Ini kerana mesej yang terdapat dalam filem tersebut sangat luas dan sewajarnya ditonton oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum," katanya.
Beliau menambah, isu-isu kontroversi yang muncul berkenaan filem tersebut sebenarnya berpunca dari pihak pembangkang yang sengaja membangkitkan isu-isu dalam filem tersebut.
"Jika kita tonton filem tersebut, kita dapat lihat bahawa masalah yang dikatakan timbul itu adalah ketika negara ketika itu menghadapi ancaman komunis secara bersenjata dan satu lagi melalui pilihan raya dimana dalam keadaan tersebut, puak pembangkang ada yang bersekongkol dengan komunis dan ini semua adalah kenyataan dan sejarah yang berlaku," katanya lagi.
Seorang lagi perwakilan, Halimah Yaakob, 55 dari Sungai Petani, merasakan filem tersebit sebenarnya lebih banyak menonjolkan pengorbanan dan keperwiraan mantan Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak dari kontroversi yang dikatakan berbaur perkauman.
"Saya tidak rasakan filem ini sebagai sesuatu yang berbaur perkauman kerana semua yang berlaku itu benar-benar berlaku pada waktu dahulu dan kita dapat lihat pahit jerih Tun Abdul Razak dalam cuba menyatupadukan dan mengamankan negara meskipun beliau sakit ketika itu," kata Halimah.
Tayangan percuma filem 'Tanda Putera' itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi dari sayap Wanita UMNO iaitu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
#PAU 2013 #Perhimpunan Agung UMNO 2013 #Tanda Putera
;