Tanda pagar jelik: MCMC ambil tindakan lapor kepada Twitter
Astro Awani
Disember 23, 2021 22:08 MYT
Disember 23, 2021 22:08 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan untuk melaporkan kepada pihak Twitter berhubung beberapa tanda pagar yang jelik.
MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pihaknya sentiasa menghormati penyedia platform seperti Twitter dan bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan undang-undang.
“Pihak MCMC bertanggungjawab untuk memastikan adanya pematuhan undang-undang yang tersedia dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk kepentingan negara,” ujar kenyataan itu.
Terdahulu, MCMC memohon kepada Twitter supaya mengambil kira sensitiviti dan mengeluarkan perkataan berunsur jelik dalam penggunaan tanda pagar atau hashtag.
Ia lebih menjadi panas apabila salah seorang pengguna Twitter mendakwa dirinya telah menerima kiriman e-mel daripada Twitter yang memberitahu permintaan MCMC untuk menyekat kandungannya di platform itu.
Selain itu, MCMC juga meminta ciapan yang mengkritik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar berhubung kenyataannya mengenai kelayakan mangsa banjir untuk menuntut bantuan kerajaan, turut dinyahkan.
Namun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ada mengeluarkan komen berkaitan perkara tersebut dengan menganggap ia adalah sesuatu yang merepek.