Tanaman padi Smart SBB Ala Sekinchan bakal diperluas ke IADA Kota Belud - Arthur

Bernama
Mac 7, 2024 20:35 MYT
Pelancaran model Smart SBB Ala Sekinchan di IADA Kota Belud dijangka bermula Julai ini, dengan pelaksanaan kaedah penanaman padi itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut kesesuaian tanah. - Bernama
KOTA BELUD: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan memperluas amalan penanaman padi menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud di sini, mulai tahun ini.
Timbalan Menterinya Datuk Arthur Jospeh Kurup berkata usaha itu selari dengan inisiatif 'Gelombang Padi' yang menjadi antara fokus utama kementerian pada tahun ini, ke arah meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran hasil padi khususnya di Sabah.
Beliau berkata pelancaran model Smart SBB Ala Sekinchan di IADA Kota Belud dijangka bermula Julai ini, dengan pelaksanaan kaedah penanaman padi itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut kesesuaian tanah.
"Apabila kita menanam padi di Sekinchan menggunakan kaedah serta teknologi lebih mampan dan cekap, kita nampak hasil pengeluaran padi dapat ditingkatkan sehingga boleh mencapai 10 metrik tan per hektar atau 12 metrik tan per hektar.
"Sekiranya kita dapat mengimplementasikan model Smart SBB Ala Sekinchan ini, kita harap ia dapat meningkatkan potensi untuk memaksimumkan pengeluaran padi dan beras di IADA Kota Belud, seterusnya menyumbang kepada Tahap Sara Diri (SSL) padi dan beras negara," katanya pada program lawatan kerja ke IADA Kota Belud dan sesi touch point bersama pesawah di sini, hari ini.
Arthur berkata IADA Kota Belud berpotensi untuk menyumbang sebanyak 60 peratus kepada SSL padi dan beras di Sabah, berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan kementerian.
Mengulas lanjut, Arthur berkata Smart SBB hanya akan dilaksanakan di IADA Kota Belud sahaja buat masa ini, sebagai titik permulaan inisiatif 'Gelombang Padi' di Sabah.
Namun, beliau yakin program itu boleh diperluaskan ke kawasan lain di negeri itu, sekiranya ia menunjukkan pencapaian yang baik termasuk dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi.
"Program Smart SBB di IADA Kota Belud melibatkan kawasan penanaman padi seluas 200 hektar dengan penglibatan seramai 75 pesawah setakat ini," katanya.
Untuk rekod, program itu juga telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada 2.6 metrik tan per hektar kepada 4.1 metrik tan per hektar, sejak dilaksanakan mulai 2022.
Sementara itu, Arthur berkata, kementerian komited untuk terus memberi tumpuan dalam meningkatkan lagi infrastruktur pengairan dan saliran di kawasan tanaman padi Kota Belud, dengan menyalurkan peruntukan berkaitan.
"Ini bagi memastikan bekalan air mencukupi dan pesawah konsisten dalam menjalankan aktiviti penanaman padi, lebih-lebih lagi dengan adanya pelaksanaan program Smart SBB," katanya.
-- BERNAMA
#Padi #Smart SBB #Sekinchan #Kota Belud #IADA #Arthur Jospeh Kurup
;