Tanaman durian Musang King sumber pendapatan baru peneroka Felda
Astro Awani
Mac 10, 2018 05:45 MYT
Mac 10, 2018 05:45 MYT
Komuniti Felda berpeluang meneroka sumber kekayaan baru, dengan projek perintis tanaman durian Musang King di kawasan mereka.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memaklumkan, buat masa ini, Felda Neram 1 di Kemaman, Terengganu dipilih jadi perintis projek tanaman itu.
Sebagai permulaan enam ratus pokok durian Musang King akan ditanam di Felda berkenaan dan akan diperluaskan secara berperingkat.
"Kalau mereka bersedia, ada tempat dan tanah yang sesuai, saya sarankan mula dengan tanah seluas tiga atau empat hektar,
"Tetapi di sini, peneroka dah bersemangat dan sanggup menanam Musang King di tanah seluas enam hektar, kalau cukup baja dan air, kita akan dapat hasil yang baik," jelas beliau selepas perasmian Projek Perintis Ladanng Durian di Felda Neram 1.
Menurut Ahmad Shabery, lokasi penanaman seterusnya adalah di Felda Neram 2, Felda Cherul 1 dan 2, Felda Seberang Tayor, Felda Kerteh 5, Felda Kerteh 6, melibatkan keseluruhan kawasan seluas 20 hektar.
Jelas Shabery, berdasarkan perbandingan pendapatan tahunan per hektar, durian Musang King mampu mencecah hasil jualan RM155,250.
Tanaman terbabit disifatkan mampu menjana sumber pendapatan tambahan peneroka berikutan tanaman kelapa, getah, kelapa sawit, dan padi menjana pendapatan antara RM4,000 sehingga RM37,500 per hektar setahun.