'Tanam padi waktu malam bukan pelik, memang amalan dulu-dulu' - Mukhriz

Adie Sufian Zulkefli
Mei 4, 2019 15:15 MYT
MUKHRIZ: Cadangan itu bukan luar biasa, yang pelik, yang tak masuk akal. -Gambar fail
Amalan menanam padi pada waktu malam bukanlah amalan yang pelik, malah ia pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata cadangan yang dikemukakan oleh perdana menteri bukan sesuatu yang luar biasa ataupun berada pada tahap di luar kotak pemikiran.
"Bagi sesetengah orang, dia rasa cadangan itu adalah cadangan yang pelik, di luar kotak. Tapi amalan dulu-dulu memang macam itu.
"Saya ingat semasa kecil dahulu, di Tokai memang ada orang keluar tengah-tengah malam, pasang lampu gasolin, mungkin nak elak cuaca panas.
"Jadi cadangan itu bukan satu cadangan yang luar biasa, yang pelik, yang tak masuk akal," kata Mukhriz.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Jom Turun Bendang di Kampung Sungai Kering dekat sini pada Sabtu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk penanaman padi waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja rakyat.
Perdana Menteri berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing yang kini mencecah tujuh juta.
Mukhriz berkata ada kewajaran untuk melaksanakan aktiviti itu, namun ia perlu melihat daripada semua aspek, kesesuaian masa dan keadaan semasa.
#amalan orang dulu-dulu #bukan cadangan pelik #Lembaga Kemajuan Pertanian Muda #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #tanam padi pada waktu malam
;