Tanam padi dalam pasu, kawasan rumah bantu tampung kegunaan harian

Bernama
Oktober 5, 2023 05:00 MYT
Menanam padi secara kecil-kecilan di dalam pasu atau di kawasan rumah adalah antara inisiatif yang boleh dilakukan dalam menghasilkan beras tempatan bagi menampung kegunaan harian. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Menanam padi secara kecil-kecilan di dalam pasu atau di kawasan rumah adalah antara inisiatif yang boleh dilakukan dalam menghasilkan beras tempatan bagi menampung kegunaan harian.
Itu antara usaha yang dilakukan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Eddrus Iskandar Abdul Hamid, 36, yang mula berkecimpung dalam penanaman padi di rumahnya di Kuala Kangsar, Perak pada penghujung tahun lepas setelah melihat ibu saudaranya berjaya menghasilkan tanaman padi di dalam pasu.
Beliau berkata semasa kali pertama mencuba menanam padi sendiri, beliau menggunakan lima pasu terpakai dengan empat biji benih ditanam di dalam setiap pasu dan berjaya menghasilkan hampir satu kilogram beras.
"Kali kedua saya tanam, saya gunakan lapan buah pasu dengan pecahan lima biji benih setiap pasu dan hasil berasnya lebih sekilogram. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga lebih tiga orang, saya cadangkan untuk cuba tanam dalam 15 hingga 20 pasu, kemungkinan hasil padi akan mencecah 10 hingga 12 kilogram," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.
Menurut Eddrus Iskandar, kebiasaannya padi mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk matang dan sesuai diproses menjadi beras, bergantung kepada cara penjagaan, taburan baja serta cuaca.
Katanya, hasil padi yang sudah cukup matang akan dituai sebelum dibanting dengan lesung kayu untuk mengasingkan padi daripada tangkainya.
Beliau turut berkongsi pengalamannya melalui platform media sosial pelbagai teknik dan petua berkaitan penanaman padi kecil-kecilan di kawasan rumah.
"Sejak timbul isu beras, memang ramai di Facebook minta saya untuk muat naik video cara-cara penanaman padi di dalam pasu. Sebelum ini, saya ada berkongsi tentang teknik asas penanaman padi menerusi video YouTube Kuala Kangsar TV.
"Objektif saya berkongsi tentang teknik penanaman padi dalam pasu adalah untuk membuka minda dan minat masyarakat agar terlibat dalam aktiviti penanaman padi yang boleh menjadi ilmu dan keperluan pada masa akan datang.
"Jika ramai menanam padi, bukan sahaja boleh digunakan untuk menampung keperluan sendiri, malah juga boleh menjadi sumber pendapatan dengan menjual lebihan hasil padi itu kepada pihak lain dan secara langsung dapat menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata orang ramai digalakkan menggunakan teknologi moden yang ada untuk melibatkan diri dalam penanaman padi secara kecil-kecilan.
"Teknologi kini membolehkan perumahan bertingkat untuk bercucuk tanam di ruang yang terhad. Jadi, lebih ramai rakyat boleh cuba menanam padi untuk mengurangkan beban kos sara hidup keluarga sendiri," katanya.
Nur Asyikin turut menyifatkan inisiatif ini sebagai satu usaha yang efektif untuk memberi tekanan kepada peniaga supaya menjual beras dengan harga yang lebih mampu milik.
-- BERNAMA
#tanam padi #pasu #kecil-kecilan #Eddrus Iskandar Abdul Hamid
;