Tanah terhad punca rumah mahal di Perlis
Salim Aziz
Julai 22, 2019 14:32 MYT
Julai 22, 2019 14:32 MYT
Kenaikan harga rumah kediaman serta komersial yang melambung tinggi di Perlis, bukan berpunca daripada kos bahan binaan semata-mata, malah kerana tanah yang terhad serta proses penambakan tanah dari bendang kepada pamah.
Itu penjelasan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berhubung kemelut harga rumah terlalu tinggi di negeri paling utara di semenanjung itu, yang disifatkan tidak seiring dengan jumlah pendapatan yang diraih kebanyakan penduduknya.
“Jadi kerana itulah daripada kaca mata kerajaan negeri, apa yang penting di sini, di Perlis ini adalah (usaha) menyediakan sebanyak mungkin rumah mampu milik.
"Walaupun permintaan bagi rumah-rumah yang mewah berharga mahal, iaitu rumah teres, rumah berkembar dan rumah banglo ini ada, tetapi permintaan lebih besar adalah yang bersifat mampu milik," ujar beliau.
Menurut Azlan, ketika ini terdapat 1,271 jumlah mampu milik di seluruh Perlis membabitkan kawasan Wang Ulu, Sena dan Kuala Perlis.
Dalam usaha melengkapi keperluan rakyatnya, Perlis akan membina tambahan sebanyak 600 unit lagi rumah mampu milik di Kangar dan Padang Besar, melalui projek perumahan rakyat yang telah diluluskan.
Azlan berkata demikian ketika ditemui di Bilik Mesyuarat, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di Kangar.
Sebelum itu, Azlan menerima kunjungan hormat dari Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun dalam lawatan kerja tiga harinya ke negeri itu.
Pada Sabtu, Astro AWANI melaporkan rintihan rakyat Perlis yang berdepan kesukaran untuk membeli dan memiliki rumah pertama di negeri itu.
Kata mereka, harga rumah yang tinggi di Perlis dan tidak senada dengan pendapatan diperolehi mereka, menyebabkan banyak rumah yang tidak terbeli oleh penduduknya.
#Azlan Man
#bahan binaan
#harga rumah
#kenaikan harga rumah
#Perlis
#rumah mampu bilik
#tambak tanah