Tanah Taman Manggis: Guan Eng sahut cabaran debat Rahman Dahlan

Norsiah Mohd Ramli
April 7, 2016 17:37 MYT
Guan Eng juga berkata, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Abdul Rahman yang didakwa memadamkan beberapa maklumat dalam pendedahan yang dibuatnya itu. - Gambar fail
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyahut cabaran Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk berdebat mengenai isu pembelian tanah di Taman Manggis.
Guan Eng memaklumkan walaupun pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung isu tersebut, namun beliau sanggup untuk berdebat dengan Abdul Rahman menggunakan fakta yang ada secara terbuka.
"Tapi kalau dia cabar saya untuk perbahasan, saya tentu menerimanya berbahas berhubung isu Taman Manggis kerana itu adalah satu isu penting walaupun saya tidak dapat sebarang maklumat mengenainya," katanya dalam satu sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Guan Eng berkata demikian bagi mengulas cabaran debat yang diajukan oleh Abdul Rahman sebelum ini terhadapnya mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi milik syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) kerana dijual kepada pihak ketiga.
"Saya hanya tunggu masa dan tempat yang beliau (Abdul Rahman) cadangkan. Saya minta Anthony Loke aturkan semua aturcara perbahasan," tambahnya.
Guan Eng juga berkata, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Abdul Rahman yang didakwa memadamkan beberapa maklumat dalam pendedahan yang dibuatnya itu.
"Dia ada maklumat yang kerajaan negeri tidak ada, tetapi kenapa padamkan nama? Kenapa tidak berani untuk tunjukkan nama pembeli?," soalnya.
BACA: BN kemukakan dokumen mengenai tanah Taman Manggis - Rahman Dahlan
BACA: Isu tanah Taman Manggis: 'Mustahil harganya RM45.3 juta pada 2010!'- Guan Eng
Tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang mulanya telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik tetapi rancangan untuk PPRT digantikan dengan cadangan untuk projek pembangunan bercampur pada 2005.
Ia setelah kerajaan negeri mendapati keluasan tanah di Taman Manggis (lebih satu ekar tanah) tidak sesuai untuk perumahan kos rendah, dan telah memindahkan projek perumahan mampu milik ke tanah yang lebih 10 kali lebih besar di Jalan S. P. Chellilah.
#Abdul Rahman Dahlan #KLIDC #Kuala Lumpur International Dental Centre #Lim Guan Eng #Taman Manggis
;