Tanah runtuh Tanjung Bungah: Mayat pertama ditemui

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 25, 2019 00:07 MYT
Pasukan Bomba dan Penyelamat giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang disyaki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah malam ini. --fotoBERNAMA
Mayat pertama dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lost Paradise Resort, di sini, berjaya dikesan anggota penyelamat pada jam 11.15 malam ini.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata, ketika ini usaha untuk mengeluarkan mayat itu sedang giat dijalankan.
Katanya, polis yakin tiga lagi mangsa dipercayai berada berhampiran mayat pertama.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku ketika empat pekerja warga Myanmar itu sedang melakukan kerja-kerja mengorek longkang sedalam 4.5 meter di kawasan tapak pembinaan tersebut.
BACA: Tanah runtuh: 4 pekerja Myanmar dikhuatiri maut tertimbus
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, bomba juga telah menghantar pegawai pemeriksaan keselamatan untuk menilai keadaan tanah dan pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan malam ini jika keadaan cuaca baik dan tiada berlaku pergerakan tanah.
#bomba #Che Zaimani Che Awang #JBPM #kerja mengorek longkang #Lost Paradise Resort #mangsa #maut #mayat #Myanmar #tanah runtuh #Tanjung Bungah #tapak pembinaan
;