Tanah runtuh Tanjung Bungah: Kerajaan negeri patut dengar nasihat Adun - Mah

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 22, 2017 16:18 MYT
Mah berkata, jika kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil berat dan menimbang desakan Teh, kejadian yang mengorbankan banyak nyawa itu mungkin boleh dielakkan. --fotoBERNAMA
Pulau Pinang sewajarnya mendengar saranan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, yang sekian lama mendesak supaya kerajaan negeri pimpinan DAP itu menghentikan pembangunan di daerah itu.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, sebagai Adun DAP, Teh pasti sangat mengetahui dan memahami bahaya yang diundang, sehingga beliau begitu keras mengkritik projek pembangunan itu.
"Teh adalah Adun DAP. Dia berada di dalam kerajaan negeri. Jadi, dia tahu dan dia mempunyai alasan kenapa dia menyuarakan kebimbangan dan bertegas mendesak kerajaan negeri jangan melakukannya dan menghentikannya segera.
"Semua pertubuhan bukan kerajaan lain juga sudah membangkitkan perkara ini dua, tiga tahun yang lalu. Saya masih ingat, banyak kali kita lihat dalam akhbar, gambar-gambar yang menunjukkan banyak bukit telah menjadi botak," katanya yang ditemui di Rumah Terbuka Deepavali anjuran Gerakan di sini hari ini.
Mah berkata demikian mengulas kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah semalam, mengakibatkan 11 pekerja binaan tertimbus.
BACA: Tanah runtuh Tanjung Bungah: 6 mangsa ditemukan, 5 lagi masih tertimbus - JBPM
BACA: Tanah runtuh: Polis cari tiga mangsa terselamat dipercayai melarikan diri
Teh hari ini dilaporkan memohon maaf kepada rakyat Pulau Pinang ekoran kejadian tanah runtuh itu, menyatakan pihak berkuasa perlu menjelaskan apa yang telah berlaku dan punca kejadian itu.
“Saya ingin memohon maaf kepada semua rakyat Pulau Pinang kerana kerajaan negeri tidak menyedari kemungkinan kecuaian, walaupun amat berhati-hati,” dia dipetik berkata.
Mengulas lanjut, Mah berkata, jika kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil berat dan menimbang desakan Teh, kejadian yang mengorbankan banyak nyawa itu mungkin boleh dielakkan.
#mah siew keong #pulau pinang #tanah runtuh #Tanjung Bungah #Teh Yee Cheu
;