Tanah runtuh Taman Melawati: Kerja pembersihan bermula, polis kawal keselamatan kediaman

Firdaus Azil
Oktober 15, 2024 16:40 MYT
Polis berkata, kerja-kerja itu perlu diselesaikan dengan segera bagi membolehkan penduduk di kawasan yang terjejas. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
AMPANG JAYA: Kerja-kerja pembersihan laluan yang terkambus akibat tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini, telah dimulakan dan dijangka selesai dalam tempoh sejam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kerja-kerja itu perlu diselesaikan dengan segera bagi membolehkan penduduk di kawasan yang terjejas mengalihkan kenderaan serta barang-barang yang penting dari kediaman mereka.
Katanya lagi buat masa ini 11 keluarga telah mendaftarkan diri sebagai penduduk terjejas akibat kejadian itu dan mereka akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) AU2 Keramat buat sementara waktu.
Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah hadir dan menjalankan kerja pembersihan bagi mudahkan laluan keluar masuk.
“Jadi saya nasihat penduduk (di sini) jangan khuatir. Polis akan tempatkan anggota bagi kawal keselamatan rumah mereka,” katanya kepada sidang media.
Ditanya sekiranya penduduk akan dibenarkan pulang selepas kerja pembersihan selesai, Mohd Azam berkata pihaknya harus mendapatkan laporan lengkap daripada Jabatan Mineral dan Geologi, serta Cawangan Cerun JKR sebelum menentukan langkah seterusnya.
Terdahulu media melaporkan kejadian tanah runtuh kira-kira jam 11.45 pagi Selasa di Jalan E6 di sini.
Insiden itu berlaku dipercayai akibat hujan lebat selain aliran air deras dari bukit yang menyebabkan tanah runtuh dan beberapa pokok tumbang.
#tanah runtuh #Taman Melawati #tahap keselamatan #polis
;