Tanah runtuh Simpang Pulai: Hujan berterusan punca runtuhan - JKR

Bernama
Disember 3, 2021 16:45 MYT
Hamdan berkata kejadian tanah runtuh di kawasan itu merupakan pertama kali berlaku dan berlaku di luar jangkaan. - Gambar/ JBPM
IPOH: Punca kejadian tanah runtuh di KM 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini sehingga mengorbankan dua mangsa semalam adalah disebabkan keadaan hujan yang berterusan.
Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Ir Hamdan Ali berkata berdasarkan alat pengesan jumlah taburan hujan yang direkodkan di lokasi, kadar taburan hujan agak tinggi iaitu sebanyak 217 mililiter selama dua minggu dan keadaannya berterusan sehingga mengakibatkan kelemahan pada tebing jalan seterusnya menyebabkan berlakunya runtuhan tanah.
''Hasil pemeriksaan kami mendapati bahawa ia adalah satu runtuhan yang besar membabitkan melebihi 10,000 meter kiub tanah,'' katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di lokasi kejadian di sini hari ini.
Hamdan berkata pihaknya akan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah bagi tindakan jangka masa pendek.
''Oleh kerana kandungan tanah yang tinggi kami akan melakukan pembersihan tanah selama satu minggu dan kami akan sentiasa membuat pemantauan keadaan kestabilan cerun dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti tindakan untuk jangka masa panjang.
"Setakat ini kami masih dalam kajian untuk membuat proses kerja pembaikan jangka masa panjang,'' katanya.
Dalam pada itu, Hamdan berkata kejadian tanah runtuh di kawasan itu merupakan pertama kali berlaku dan berlaku di luar jangkaan.
''Keadaan cerun itu sebahagian stabil dan sebahagian lagi tidak stabil, jadi kami masih lagi dalam kajian keadaan cerun ketika ini. Panjang cerun yang terjejas adalah kira-kira 100 meter,'' katanya.
Tanah Runtuh | Dua kenderaan tertimbus, dua maut
BACA: Tanah runtuh Simpang Pulai: SAR diteruskan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan
BACA: Tanah runtuh Simpang Pulai: Mayat terakhir dibawa keluar, polis sah 2 mangsa terkorban
Beliau berkata laluan berkenaan dijangka akan dibuka semula pada 9 Dis ini setelah selesai kerja-kerja pembersihan dan sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
Menurutnya pusat pemantauan cerun yang ditempatkan di Seksyen 44 di sini mendapati keadaan stabil dan pemantauan cerun dilakukan di tiga lokasi antara Seksyen 38 hingga Seksyen 48.
"Setakat ini, pemantauan yang dijalankan di lokasi lain bersama pihak konsesi mendapati terdapat runtuhan kecil di dua lokasi tapi tidak kritikal dan laluan masih boleh dilalui,'' katanya.
Insiden tanah runtuh tengah hari semalam menyebabkan pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, maut akibat tertimbus sebelum mayat mereka berjaya dikeluarkan oleh pasukan JBPM malam tadi.
Tanah Runtuh | Dua mayat mangsa tertimbus berjaya dibawa keluar
#tanah runtuh #simpang pulai #Cameron Highlands #kenderaan tertimbus
;