Tanah runtuh Serendah: Kerja tanam cerucuk besi dilanjut, dijangka hingga Selasa

Israr Khalid
November 27, 2016 20:47 MYT
kerja pengukuhan tebing tanah difokuskan kepada dua buah rumah yang paling hampir dengan tebing runtuhan di mana ia dikenal pasti sebagai titik paling berisiko untuk berlaku runtuhan susulan. - Foto JBPM
Kerja-kerja menanam cerucuk besi untuk mengukuhkan struktur tanah di lokasi runtuhan di Taman Idaman, Serendah terpaksa dilanjutkan, dijangka hingga Selasa depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ia disebabkan didapati masih ada aliran air bawah tanah serta faktor hujan.
"Walaupun dah siap nanti, dia masih bergantung kepada laporan akhir daripada pasukan penyiasat nanti.
"Buat masa sekarang air masih lagi mengalir dan mereka sedang mengkaji dari mana punca aliran air tersebut," katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan insiden hari ini.
Ketika ini, kerja pengukuhan tebing tanah difokuskan kepada dua buah rumah yang paling hampir dengan tebing runtuhan di mana ia dikenal pasti sebagai titik paling berisiko untuk berlaku runtuhan susulan.
Terdahulu hari ini, Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohd Fauzi Mohd Yatim memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyiapkan kerja penanaman cerucuk besi sebelum esok.
Bagaimanapun kata Shahidan, agensi yang terlibat seperti JKR, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan bekerja 24 jam bagi memastikan kerja-kerja pemulihan dapat segera diselesaikan juga dalam keadaan yang baik.
Berhubung penduduk rumah terlibat, Shahidan menjelaskan bahawa mereka dibenarkan pulang hanya selepas disahkan kawasan tersebut selamat, berdasarkan laporan akhir pasukan penyiasat.
Setakat petang Ahad, jumlah terkini penduduk yang berada di penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah adalah 131 orang daripada 27 keluarga, 31 keluarga lagi yang telah berdaftar menetap di kawasan sekitar.
"Saya difahamkan sekarang ini lima keluarga lagi yang masih dikesan dan belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Oleh itu, saya minta mereka tampil segera bagi menerima bantuan," katanya.
Pihak polis sebelum ini telah mengisytiharkan kawasan tanah runtuh sebagai kawasan larangan Zon Merah dan mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.
Dalam kejadian 1 pagi semalam itu, seorang penduduk cedera, sebuah gerai makan rosak dan 10 kenderaan terjatuh.
#Noh Omar #Serendah tanah runtuh #Shahidan Kassim #taman idaman
;