Tanah runtuh Serendah: Kerajaan sedia beri bantuan kepada 64 keluarga - Noh

Israr Khalid
November 27, 2016 17:33 MYT
Dalam kejadian 1 pagi semalam itu, seorang penduduk cedera, sebuah gerai makan rosak dan 10 kenderaan terjatuh. - Foto JBPM
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menyediakan rumah baharu kepada 64 keluarga yang terkesan daripada insiden tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah pada Sabtu.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dua bentuk bantuan perumahan akan diberikan iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah yang dibina di atas tanah mangsa tanah runtuh sendiri.
Bagaimanapun jelas Noh, bantuan tersebut tertakluk kepada laporan akhir siasatan terhadap kawasan kejadian yang dijangka siap dalam masa terdekat.
BACA: Bekalan air tiga taman perumahan disambung semula
BACA: Wujud pergerakan tanah setiap sejam
VIDEO: Tidak nampak mendapan akibat keadaan gelap - mangsa
DARI LENSA KAMERA: Insiden tanah runtuh Serendah
"InsyaAllah KPKT akan memberikan bantuan sama ada rumah sebuah-sebuah yang kosnya RM65,000 kepada yang ada tanah dan kalau juga kita perlu buat rumah PPR, kita akan buat untuk 64 keluarga ini.
"KPKT mampu lakukan, apapun kita tunggu hasil laporan penuh dahulu sama ada selamat atau tidak (rumah terlibat) untuk didiami. Kalau tidak selamat kita akan ambil langkah kedua," maklumnya ketika melawat kawasan insiden di sini, hari ini.
Untuk pembinaan PPR yang dimaksudkan, beliau meminta kerajaan negeri supaya membantu pihaknya mengenal pasti tanah yang sesuai untuk pembangunan perumahan itu.
Beliau turut menerima baik cadangan membina rumah kontena di mana cadangan tersebut akan dibawanya ke Kabinet untuk dibincangkan.
Pihak polis sebelum ini telah mengisytiharkan kawasan tanah runtuh sebagai kawasan larangan Zon Merah dan mengarahkan 340 penduduk berpindah ke Sekolah Rendah Agama Serendah.
Dalam kejadian 1 pagi semalam itu, seorang penduduk cedera, sebuah gerai makan rosak dan 10 kenderaan terjatuh.
#Kementerian Kesejahteraan Bandar #Noh Omar #Perumahan dan Kerajaan Tempatan #PPR #Serendah tanah runtuh #taman idaman
;