Tanah runtuh sebabkan pokok tumbang, halang jalan di Felda Trolak Jaya

Aida Aziz
November 8, 2023 08:55 MYT
Berlaku kejadian tanah runtuh di bahu jalan yang menyebabkan pokok tumbang merintangi jalan dekat Felda Trolak Jaya, Sungkai awal pagi ini. - Foto JBPM Perak
TROLAK: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di bahu jalan dekat Felda Trolak Jaya, Sungkai, di sini, hari ini, menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan menghalang jalan raya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, insiden yang berlaku awal pagi tadi itu turut menghalang lalu lintas di jalan utama berkenaan.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi.
"Sekitar jam 6.47 pagi, anggota bomba sampai di lokasi dan mendapati berlaku kejadian tanah runtuh di bahu jalan.
"Ia turut menyebabkan pokok tumbang merintangi jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, operasi memotong pokok dan membersihkan laluan jalan raya dilakukan pihaknya di lokasi kejadian.
Operasi berkenaan diketuai oleh PBK II Isma Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani.
#Pokok tumbang #Sungkai #JBPM Perak
;