Tanah runtuh: Pengurusan bencana perlukan penglibatan masyarakat - Ahli Geologi
Rahimah Abdullah
Mac 11, 2022 15:06 MYT
Mac 11, 2022 15:06 MYT
KUALA LUMPUR : Kesiapsiagaan atau penglibatan bersama masyarakat dalam proses pengurusan risiko bencana disifatkan tidak berjalan dengan baik di negara ini.
Menurut Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd Rasid Jaapar, tindakan itu penting berikutan kawasan berisiko tanah runtuh sudah dikenal pasti melalui kajian dilakukan sebelum ini.
"Kalau di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada pengurangan risiko bencana, dimana NADMA adalah ahli dalam inisiatif tersebut.
"Kita selalu sibuk apabila berlaku bencana, kemudian, selepas seminggu, dua minggu, senyap, lepas itu apabila berlaku lagi, barulah kita kecoh.
"Sebenarnya dalam proses pengurusan risiko bencana itu ada satu yang dipanggil kesiapsiagaan atau penglibatan dengan masyarakat, ini tidak berlaku dengan baiknya di Malaysia.
"Sepatutnya agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains untuk tanah runtuh atau JKR cawangan cerun perlu melakukan penglibatan atau aktiviti kesiapsiagaan bersama rakyat terutama di kawasan-kawasan yang kita kenal pasti.," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Antara kawasan berisiko tanah runtuh yang telah dikenal pasti sebelum ini adalah seperti Bukit Antarabangsa, Ampang Jaya, Cameron Highlands, dan Kundasang.
"Ini kita semua kita sudah ada maklumat tetapi proses kesiapsiagaan dan pemahaman kepada masyarakat itu tidak berlangsung dengan baik," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, kajian lanjut perlu dilakukan bagi mencari mekanisme untuk menangani kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis yang dijangka mengambil masa beberapa bulan.
Abd Rasid berkata, ketika ini agensi kerajaan terlibat hanya melakukan kajian awalan, iaitu mengekang pergerakan tanah atau runtuhan susulan.
"Kajian yang dibuat oleh agensi kerajaan untuk keluarkan pelaporan dalam masa 3 atau 4 hari, adalah kajian awalan iaitu untuk memastikan tidak ada lagi pergerakan atau akan ada lagikah pergerakan tanah tetapi punca sebenar apa yang menyebabkan (tanah runtuh) memerlukan kajian lanjut dan ia memerlukan beberapa bulan," tambahnya.
Kes tanah runtuh kali ini merupakan kes kajian yang agak unik walaupun biasa berlaku di negara tropika contoh di Hong Kong atau Taiwan.
"Hujan lebat berlaku pada Isnin dan Selasa tetapi runtuhan berlaku Khamis. Jadi adanya faktor-faktor dalaman atau geologi yang perlu dikaji lagi dan mekanisme apa di kawasan itu, dan kenapa ia berlaku di kawasan itu dan bukan di kawasan lain, walaupun hujan turun di serata kawasan," tambahnya.