Tanah runtuh: Penduduk taman perumahan di Gurun diminta kosongkan kediaman
Astro Awani
September 16, 2017 18:25 MYT
September 16, 2017 18:25 MYT
Sebanyak 16 unit rumah di Taman Permai Utama, di sini, digegarkan dengan dentuman kuat susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku kira-kira jam 3 petang Jumaat.
Menurut penduduk, kejadian tanah runtuh itu berlaku secara tiba-tiba dan hanya beberapa kaki dari rumah mereka.
Penduduk mendakwa mereka kini trauma, bimbang jika kejadian tanah runtuh itu berulang ekoran hujan yang masih melanda kawasan itu.
Menurut pihak bomba, berlaku mendapan tanah di tebing bukit setinggi 30 meter di belakang kawasan perumahan itu yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh.
Bomba mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengawal kawasan berkenaan termasuk menutup lokasi runtuhan dengan kanvas bagi mengurangkan hakisan.
Pemerhatian awal mendapati berlaku rekahan di beberapa bahagian rumah penduduk.
Penghuni di kesemua 16 unit rumah berkenaan diminta mengosongkan kediaman sejak petang Jumaat.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.