Tanah runtuh: Penduduk Kemensah Heights harap kerja baiki cerun disegerakan
Bernama
September 22, 2021 04:34 MYT
September 22, 2021 04:34 MYT
KUALA LUMPUR: Penduduk yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh Jalan Kemensah Heights, di sini Jumaat lepas berharap kerja-kerja penstabilan cerun dan memperbaiki aliran Sungai Kemensah dapat dilaksanakan segera untuk mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya apabila tiba musim hujan.
Seorang penduduk, Razni Samsuddin, 64, berkata selain melaksanakan kerja-kerja penstabilan cerun agar mereka yang terjejas dapat kembali ke rumah masing-masing dengan selamat, pihak bertanggungjawab perlu melakukan kajian teknikal mengenai pergerakan tanah di kawasan itu .
"Saya berserah kepada pihak-pihak berkenaan yang mengendalikan dari segi teknikal dan uruskan apa yang patut untuk mengelakkan kejadian runtuhan pada masa hadapan," katanya kepada Bernama hari ini.
Menceritakan kejadian berkenaan, Razni berkata beliau menyedari kejadian itu pada kira-kira 8.30 malam apabila tanah dari cerun mulai memasuki kawasan rumahnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ajmal Zaim, 25, berharap penambahan tembok penahan dapat dilakukan agar kejadian tanah runtuh tidak berulang.
"Ini akan dapat elakkan tanah atau pasir masuk ke sungai setiap kali hujan lebat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata kawalan keselamatan 24 jam telah ditetapkan di laluan keluar masuk Jalan Tujuh dan Kemensah Indah, di sini.
"Setakat ini tiada laporan kecurian harta benda atau kejadian pecah masuk rumah penduduk dan penduduk diberi tempoh hingga 6 petang setiap hari untuk menguruskan rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi.
Tinjauan Bernama di lokasi runtuhan mendapati kerja-kerja pembersihan dan penstabilan cerun sedang giat dijalankan oleh Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor manakala rumah-rumah yang terjejas dipasang pita lintas.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dilapor berkata peruntukan RM1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan.
-- BERNAMA