Tanah runtuh: Penduduk Kampung Teras dinasihat segera berpindah

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 27, 2019 18:38 MYT
Penghuni hampir 50 buah rumah di sekitar kawasan tersebut juga dinasihatkan berpindah kerana turut berisiko walaupun belum sampai ke tahap merbahaya. - Foto JBPM
Penduduk Kampung Teras, Batu Kurau yang berhampiran kawasan tanah runtuh diberi pilihan untuk berpindah sementara sama ada ke dewan orang ramai, surau ataupun rumah sanak saudara.
Bagaimanapun, penghuni enam buah rumah yang dinasihatkan berpindah segera kerana berisiko tinggi dan memilih untuk berpindah ke rumah sanak saudara masing-masing.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka dinasihatkan berpindah segera kerana siasatan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan di kawasan tersebut.
“Setakat ini kita telah pun menyediakan surau dan dewan untuk mereka duduki sementara tetapi dalam masa yang sama kita dapati ramai di kalangan penduduk ataupun mangsa yang terbabit memilih untuk tinggal bersama sanak saudara, kaum keluarga yang berdekatan.
“Tetapi dalam masa yang sama jabatan yang berbabit, JMG sedang melihat perkara-perkara sebenarnya yang berlaku dan sama ada akan berlaku lagi kejadian runtuhan tanah.
BACA: Tiga rumah ranap dalam insiden tanah runtuh di Batu Kurau
BACA: Mangsa tanah runtuh Batu Kurau disahkan terkorban
“Jadi, ini lebih penting, itulah sebabnya kerajaan telah menasihati para penduduk untuk memilih untuk tinggalkan sementara rumah mereka sehingga kita dapat pastikan bahawa keadaan benar-benar selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Di samping itu, penghuni hampir 50 buah rumah di sekitar kawasan tersebut juga dinasihatkan berpindah kerana turut berisiko walaupun belum sampai ke tahap merbahaya.
Pada Jumaat, seorang penduduk kampung maut tertimbus di samping tiga buah rumah penduduk ranap dalam kejadian tanah runtuh yang bermula kira-kira jam 6.25 petang.
#Ahmad Faizal Azumu #Batu Kurau #Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia #Kampung Teras #Menteri Besar Perak #segera berpindah #tanah runtuh Batu Kurau
;