Tanah runtuh: Pegawai APM, pemilik akaun Facebook dipanggil beri keterangan esok

Bernama
Mac 14, 2022 17:56 MYT
ACP Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua individu itu akan dipanggil pada 11 pagi esok untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seorang pemilik akaun Facebook, bagi membantu siasatan beberapa kes yang berkaitan dengan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini Khamis lepas.
Pegawai APM berkenaan akan dipanggil kerana dikatakan memasuki lokasi kejadian tanpa kebenaran, manakala pemilik akaun Facebook pula kerana memuat naik video Komander Operasi Bencana ketika sedang memberi arahan di lokasi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua individu itu akan dipanggil pada 11 pagi esok untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Semalam, polis membuka kertas siasatan terhadap penularan sebuah video di Facebook mengenai seorang pegawai APM memasuki kawasan tanah runtuh berkenaan, dikatakan tanpa kebenaran.
Dalam video berdurasi selama 55 saat yang tular sejak semalam itu, pegawai APM berkenaan dilihat mempersoalkan tindakan Mohamad Farouk yang tidak membenarkan pasukan APM memasuki kawasan bencana berkenaan.
Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, kira-kira 6 petang pada Khamis lepas itu telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #pegawai APM #pemilik Facebook #Mohamad Farouk Eshak
;