Tanah runtuh Melawati: Tiada lagi pergerakan tanah dikesan - JMG

Faida Rahim
Oktober 16, 2024 14:10 MYT
Pihak berkuasa memasang kanvas biru untuk menutup kawasan tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang Jaya. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
AMPANG JAYA: Tiada lagi pergerakan tanah dikesan di kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, di sini, kata Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Zamri Ramli.
Beliau berkata, ia hasil daripada pemerhatian dalam tempoh dua jam awal hari ini.
Sementara itu, , Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa melawat lokasi bencana itu, berkata langkah mitigasi sudah diambil antaranya menutup lokasi terjejas dengan kanvas biru dan akan menggunakan kaedah pemakuan tanah (soil nailing) bagi mengelakkan pergerakan tanah berulang.
“Proses pemakuan tanah akan dilakukan dan kerja pembaikan cerun akan mengambil masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di lokasi kejadian pada Rabu.
Beliau juga berkata, pihaknya telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) yang beroperasi di Ibu Pejabat Kementerian Kerja Raya (KKR) sejak beberapa hari lalu bagi memantau keadaan cerun di seluruh negara.
Ini kerana negara ketika ini berdepan fasa peralihan Monsun Timur Laut bermula bulan depan.
“Ada 27,000 cerun di Jalan Persekutuan dan 3,200 daripadanya telah dikenal pasti sebagai berisiko.
“Sehubungan itu, kami telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana atau BigBen JKR beberapa hari lalu.
"Jika perlu kita akan bekerja 24 jam untuk memberikan sistem amaran awal (early warning system) khusus berhubung dengan cerun berhampiran penempatan, sekolah dan bangunan kerajaan,” katanya selepas meninjau kawasan tanah runtuh hari ini.
BigBen akan diketuai Jurutera Daerah JKR dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
#tanah runtuh #Taman Melawati #pergerakan tanah #pemakuan tanah
;