Tanah runtuh Melawati: 'Kejadian bukan berpunca daripada pembangunan berlebihan' - MB

Astro Awani
Oktober 16, 2024 14:40 MYT
Amirudin ketika meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati hari ini. - Gambar/ Bernama
AMPANG JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, menafikan kejadian tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati, semalam, berpunca daripada pembangunan berlebihan di kawasan itu seperti yang didakwa sesetengah penduduk.
"Tempat berlaku gelongsoran adalah tanah milik swasta yang didaftar sekian lama dan tidak ada sebarang pembangunan di tempat gelongsoran itu... tetapi di atas tempat gelongsoran ada projek pembangunan yang sedang dilakukan.
"Kawasan itu masih belum siap sepenuhnya. Ia bukan pembangunan high density, tapi lebih kepada lot banglo," katanya ketika ditemui semasa menyantuni penduduk terjejas di pusat pemindahan sementara mangsa bencana Taman Melawati, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan kebenaran merancang (KM) kepada pemaju di kawasan berkenaan 10 tahun lepas dan pihak pemaju telah pun mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal bagi Pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mula menjalankan siasatan terperinci di kawasan kejadian bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat.
Beliau berkata, struktur tanah di sekitar kawasan berkenaan perlu dijamin selamat sebelum penduduk dibenarkan balik ke kediaman masing-masing.
Dalam kejadian pagi semalam, hujan lebat selama beberapa jam telah menyebabkan tanah runtuh di sepanjang Jalan E6, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Susulan itu, polis mengarahkan penduduk di 20 buah rumah berhampiran kawasan kejadian untuk berpindah untuk sementara waktu atas faktor keselamatan.
Amirudin berkata mereka yang terjejas dengan kejadian itu akan menerima bantuan RM500 daripada Pejabat Tanah dan Daerah selain bantuan daripada pusat khidmat kawasan dewan undangan negeri (DUN).
#tanah runtuh #Taman Melawati #punca kejadian #Amirudin Shari #terkini
;